PUTRAJAYA – Peningkatan Insentif Pembajakan kepada Pesawah (IPKP) daripada RM160 kepada RM300 sehektar bagi musim penanaman 2026 merupakan suatu langkah yang dapat membantu hampir 200,000 pesawah mengurangkan beban kos operasi.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berkata, kesinambungan insentif penuaian turut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam menyokong sektor padi dan beras di Malaysia.
Menurutnya, pertambahan bantuan tunai di bawah inisiatif BUDI AgriKomoditi dan BUDI Diesel Individu daripada RM300 kepada RM400 sebulan juga membantu meringankan beban kos bahan api yang meningkat selain memastikan kelangsungan aktiviti pertanian serta pengeluaran makanan negara.
“Inisiatif ini dijangka memberi manfaat besar kepada lebih 200,000 petani dan pekebun kecil serta kira-kira 150,000 pemilik kenderaan diesel individu di Semenanjung Malaysia.
“Selain itu, langkah kerajaan untuk melonggarkan syarat pembelian diesel bagi kegunaan jentera pertanian adalah satu pendekatan pragmatik.
“Perkara itu akan memudahkan pengusaha sektor agromakanan menjalankan operasi mereka dengan lebih efisien tanpa kekangan birokrasi yang tidak perlu,” katanya menerusi kenyataan, pada Rabu.
Mengulas lanjut, KPKM memaklumkan, langkah penambahbaikan itu amat signifikan dan tepat pada masanya dalam mendepani cabaran krisis tenaga global yang berlarutan susulan konflik di Asia Barat yang telah memberi tekanan besar kepada kos pengeluaran makanan dan rantaian bekalan negara.
Kementerian itu menyambut baik pendekatan Kerajaan MADANI yang memberi keutamaan kepada keterjaminan bekalan makanan serta kesejahteraan rakyat di samping insiatif tambahan itu akan memberi impak positif kepada produktiviti sektor agromakanan serta memperkukuh keterjaminann makanan negara dalam jangka masa pendek dan panjang.
“KPKM akan terus bekerjasama rapat dengan semua kementerian dan agensi berkaitan bagi memastikan pelaksanaan inisiatif ini berjalan lancar dan mencapai matlamat yang disasarkan.
“KPKM kekal komited untuk menyokong agenda Kerajaan MADANI dalam memperkukuh sektor pertanian negara demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara,” katanya.
Foto: Utusan Malaysia





