
PUTRAJAYA – Pemegang Lesen Memandu Malaysia (LMM) kelas B1 dan B2 selama lebih 10 tahun layak menyertai program peralihan khas untuk mendapatkan lesen B bermula 1 Oktober depan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pemohon perlu memenuhi beberapa syarat ditetapkan antaranya menghadiri dan lulus program peralihan serta penyesuaian motosikal berkuasa 500cc ke atas di institut memandu (IM).
“Pemohon perlu menjalani program amali penunggangan, informasi pemanduan selamat dan informasi pengoperasian motosikal berkuasa tinggi untuk tempoh dua jam.
“Melalui program amali itu, pemohon perlu mendapatkan pengesahan tahap keupayaan mengendalikan motosikal berkuasa besar oleh ‘Qualified Training Officer’ (QTO) di IM.
“Pengesahan ini amat penting bagi memastikan tahap kompetensi dan keupayaan seseorang untuk mengendalikan motosikal berkuasa tinggi demi meningkatkan tahap keselamatan pemanduan individu terbabit,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan dan Pelancaran Bulan Kemerdekaan peringkat Kementerian Pengangkutan, hari ini.