DATUK Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa majlis peletakan batu asas bagi pembinaan Masjid MADANI di Jalan Masjid India diteruskan pada Khamis ini.
Perdana Menteri berkata, keperluan membina masjid itu adalah bagi menampung kapasiti masjid dan surau sedia ada yang semakin sesak di kawasan berkenaan.
“Saya sendiri akan hadir bagi meletakkan batu asas di tanah wakaf milik Jakel Trading Sdn Bhd, kerana keperluan pembinaan masjid ini adalah jelas.
“Saya minta semua pihak, termasuk jawatankuasa kuil, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Jakel, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur… berbincang secara sederhana dan sopan bagi memastikan penyelesaian yang harmoni,” katanya ketika berucap pada majlis Sambutan Peringatan Hari Polis ke-218 di Kuala Lumpur, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar turut menjelaskan bahawa kelulusan membina masjid itu diberikan sejak beberapa tahun lalu dengan kelulusan pembinaan masjid diberikan pada 2019, kebenaran pembangunan diluluskan pada 2020 dan 2021, projek mula dibangunkan.
“Ini bukan keputusan saya sahaja, ia sudah melalui beberapa peringkat kelulusan sejak tiga pentadbiran Perdana Menteri yang lalu,” jelasnya.
Beliau turut mengingatkan agar rakyat tidak terpengaruh dengan pihak yang cuba menghasut serta membangkitkan isu perkauman atau agama dalam perkara ini.




