
TIDAK banyak perkara boleh kita harapkan daripada pembangkang dalam usaha membawa negara ini ke suatu keadaan yang diinginkan majoriti rakyat.
Mereka lebih gemar berbuat onar berbanding berperanan sebagai pembangkang yang berwibawa, umpamanya melakukan kritikan membina.
Perkembangan ini mengecewakan, namun demikianlah hakikatnya.
Ya, inilah realiti yang perlu dinormalisasikan – diterima tanpa kerelaan – sekurang-kurangnya buat masa ini.
Adakah persepsi sedemikian ke atas pembangkang keterlaluan?
Tidak! Kita sebenarnya sudah terlalu berlunak dan terlalu lama bersabar. Oleh sebab itu, persepsi sedemikian tidaklah keterlaluan.
Persepsi sedemikian wajar jika kita melihat perkembangan terkini bentuk wajah dan tingkah laku mereka ketika Kerajaan Perpaduan berusaha memperbetul hala tuju negara.
Suatu ketika dahulu kita mengukur kredibiliti pemimpin utama mereka dalam menjustifikasikan perkara ini dan di garisan tersebut kita dapati banyak berlaku kelompongan.
Pada waktu itu kita sudah sedia maklum akan kejumudan akal budi pemimpin utama pembangkang, lalu kita mengharapkan pemimpin muda mereka lebih rasional khasnya perkara yang melibatkan kepentingan bersama.
Malangnya, yang kita temukan hanyalah pemimpin muda seperti Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal daripada Bersatu dan Ahmad Fadhli Shaari daripada Pas.
Dalam konteks Wan Ahmad Fayhsal, ketidakmatangan dan kerendahan akal budinya terserlah hampir setiap bulan termasuklah dalam persidangan parlimen.
Di luar parlimen pula, beliau bukannya berusaha memajukan Machang, sebaliknya berpolitik kepartian 24 jam.
Pendek kata, ada sahaja kenyataan dan tindak-tanduk beliau yang kadangkala lebih kelakar daripada pementasan Lawak Mega Musim Baharu.
Dalam konteks Ahmad Fadhli Shaari pula, Ketua Penerangan Pas Pusat itu lebih cenderung melakukan permusuhan ke atas Perdana Menteri sekalipun rata-rata hujahnya sangat dangkal.
Diserangnya Datuk Seri Anwar Ibrahim bertalu-talu, pantang nampak isu walaupun lemah dan yang terbaharu isu pembukaan kilang oleh Tesla di negara ini.
Hujah dangkal beliau yang juga Ketua Pemuda Pakatan Harapan itu yang akhirnya dikutuk balas oleh rakyat, sebenarnya menampakkan kebebalannya.
Jika beliau berada di pentas sayembara perbahasan pelajar sekolah menengah pun beliau akan tewas jika itulah caranya beliau berhujah.
Yang nampak jelas, Ahmad Fadhli cuma mahukan publisiti semata-mata. Menyerang Perdana Menteri disangkanya tindakan yang hebat. Kasihan!
Pada masa yang sama beliau berbuat begitu sebagai ikhtiar mempengaruhi pengundi yang kurang teliti membuat penilaian.
Diperbodoh para pengikut pembangkang semahu-mahunya kerana itulah talian hayat Pas. Naif betul. Itu amat menyedihkan!
Ringkasnya, tiada sumbangan bernas baik daripada pemimpin muda Bersatu mahupun pemimpin muda Pas ini kepada negara. Rata-ratanya loyar buruk sahaja.
Yang jelas terpapar, kesan kebencian melampau dan ini memberi isyarat masa depan yang kelam kepada kesejahteraan rakyat negara kita.
Daripada siapa lahirnya perwatakan begini? Tidak syak lagi, mereka mewarisinya daripada pemimpin utama parti masing-masing.
Itu tidak sukar difahami kerana peribahasa Melayu pernah bertegas; ‘Keruh di hulu, keruhlah di hilir!’
Kini mereka ke hulu ke hilir menjaja naratif kebodohan. Mereka bergelut mempengaruhi pengundi di Nenggiri.
Pesan kepada pengundi; “Inilah masanya untuk anda tamatkan sesi pembodohan itu!”