
PEMBANGKANG hanya berdegar-degar apabila tidak berkemampuan membentangkan belanjawan bayangan dengan alasan tiada angka dan bukan kerajaan.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, angka-angka ini boleh diperolehi dari pelaporan rasmi yang dibentangkan di Parlimen setiap tahun.
Rafizi berkata, situasi ini berbeza dengan Pakatan Harapan (PH) semasa menjadi pembangkang yang turut proaktif membentangkan belanjawan bayangan setiap tahun.
“Macam ni lah kami (PH) berjaya hasilkan belanjawan bayangan setiap tahun.
“Saya harap tahun depan ahli-ahli Parlimen yang kuat berteriak di Parlimen ini berjaya menghasilkan satu belanjawan bayangan.
“Kita nak tahu macam mana mereka nak meningkatkan ekonomi dan hasil negara,” katanya di laman X.
Dalam pada itu, beliau yang juga merupakan Timbalan Presiden PKR, memberi cadangan kepada pembangkang untuk menggunakan rujukan sedia ada iaitu Tinjauan Ekonomi Tahunan, Tinjauan Fiskal dan Hasil Kerajaan Persekutuan, Anggaran Perbelanjaan Persekutuan, dan Perincian Jumlah Perjawatan Seluruh Agensi Kerajaan.
Katanya, keempat-empat dokumen ini yang dibentangkan setiap tahun boleh menjadi asas untuk membuat anggaran dan unjuran dalam menghasilkan belanjawan bayangan.
Tambah Rafizi, dokumen bagi Belanjawan 2024 boleh dijadikan rujukan membuat unjuran bagi tahun 2025.
“Jangan bagi alasan tiada angka. Ini sama macam cikgu dah bagi nota semua, tapi masih tak tahu jawab soalan peperiksaan sebab nak tunggu cikgu bagi skema jawapan terlebih dahulu!,” katanya.
Pada 22 Oktober lalu, Seorang ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin menggesa menggesa Perikatan Nasional (PN) untuk memainkan peranan semak dan imbang selepas gabungan itu tidak mengemukakan bajet bayangan selepas kerajaan membentangkan Belanjawan 2025 minggu lalu.
Beliau berkata pembangkang wajar membentangkan belanjawan tersendiri agar sistem demokrasi sihat dan berfungsi.
Respon Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pula berpendapat tiada keperluan untuk pembangkang menyediakan bajet kerana itu di luar tanggungjawab dan peranan mereka.







