
KALABAKAN – Seorang lelaki maut selepas treler membawa muatan kayu balak dipandu terbabas lalu terbalik ke bahu jalan dalam kejadian di Jalan Kalabakan sebelum Maliau Basin, di sini, pada Rabu.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau menerima panggilan pukul 10.03 pagi sebelum sepasukan tujuh anggota bersama jentera ke lokasi sejauh 133 kilometer.
“Terdapat seorang mangsa lelaki 40-an dilaporkan tersepit dan berjaya dikeluarkan oleh Pasukan Bomba menggunakan peralatan khas (Rescue Tool).
“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak perubatan KKM di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan, pada Rabu.
Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada PDRM untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan 1.19 petang.

Sementara itu, dalam kes berasingan di Lahad Datu, satu blok rumah pekerja tiga pintu jenis kekal terbakar sepenuhnya di Kompleks Kembara Sakti, Jalan Felda Tambisan, tengah hari Rabu.
Sepasukan 13 anggota BBP Lahad Datu bersama Pasukan Bomba Sukarela Anjung Teduh kemudian bertindak memadam kebakaran menggunakan satu aliran 200 kaki dua pancutan melalui pam jentera dari sumber air terbuka berhampiran.
“Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam insiden kebakaran dan setelah memastikan keadaan selamat, operasi ditamatkan,” katanya.





