
PUTRAJAYA – Pelantikan Dr. Mohammed Taufiq Johari sebagai Menteri Belia dan Sukan yang baru berusia 29 tahun mempamerkan isyarat jelas oleh Kerajaan MADANI bahawa had umur belia telah dinoktahkan.
Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Muhd Fazreen Ismadi Fauzi berkata, pelantikan Ahli Parlimen Sungai Petani itu menunjukkan kerajaan memberi kepercayaan kepada kepimpinan muda untuk membawa suara anak muda.
Katanya, pemilihan Dr Taufiq dilihat memperkukuh penglibatan belia dalam pembangunan negara serta memastikan aspirasi generasi muda terus diangkat dalam dasar-dasar pembangunan.
“Selain itu, pengekalan Fadhlina Sidek sebagai Menteri Pendidikan ibarat `peluang kedua’ untuk membuktikan kemampuan melaksanakan reformasi pendidikan negara.
“Pada masa sama, ia juga bagi memastikan dasar dan polisi pendidikan berlandaskan Dasar Pendidikan Negara dapat dirasai lebih menyeluruh serta tiada pencemaran terhadap hala tuju pendidikan negara.
“GPMS menggesa agar tempoh baki lebih kurang dua tahun ini dimanfaatkan sepenuhnya (oleh Jemaah Menteri baharu) untuk memperkukuh dasar, program dan pelaksanaan yang memberi impak nyata kepada rakyat khususnya generasi muda menjelang Pilihan Raya Umum ke-16, (PRU16)” katanya menerusi kenyataan, pada Rabu.

Sementara itu, Muhd Fazreen menambah, sebagai organisasi pelajar dan belia yang aktif, GPMS akan terus menilai dan memantau gerak kerja kementerian-kementerian yang merupakan rakan strategik.
Beliau berkata, pihaknya akan memberi keutamaan terhadap pelaksanaan program dan dasar yang berkaitan pendidikan, belia dan kebajikan mahasiswa.
“Pemantauan itu bukan untuk menuding jari, tetapi sebagai jaminan dan dorongan agar setiap inisiatif memberi kesan positif dan berkesinambungan.
“GPMS percaya bahawa kepimpinan yang bersedia mendengar, mengambil maklum dan bertindak dengan tuntas akan memperkukuh keyakinan rakyat serta membina asas yang lebih kukuh bagi masa depan negara,” katanya.
Terdahulu, rombakan Kabinet Kerajaan Perpaduan menyaksikan 28 menteri dan timbalan menteri yang merangkumi pertukaran portfolio serta lantikan baharu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau perlu membuat sedikit penyesuaian susulan beberapa kekosongan dalam Kabinet dan sekali gus memberi tumpuan bagi menjana pertumbuhan ekonomi yang lebih segar serta menyelesaikan masalah rakyat.




