
SANDAKAN – Pelan Strategik Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) 2024-2028 dilancarkan bagi merealisasikan visi ‘Sandakan ke Arah Bandar Raya Pintar dan Lestari 2030’.
Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Joachim Gunsalam berkata, pelan tersebut sebagai teras kepada usaha menjadikan Sandakan bandar raya kedua di Sabah selepas Kota Kinabalu.
“Pelan ini bukan sekadar dokumen tetapi merupakan visi, aspirasi dan komitmen kolektif untuk membawa Sandakan ke tahap yang lebih tinggi.
“Ini turut menyokong aspirasi Kerajaan di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya serta Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs),” katanya yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) sempena Pelancaran Pelan Strategik MPS 2024-2028 di Dataran MPS di sini pada Jumaat.
Beliau turut menekankan enam kriteria utama yang perlu dipenuhi oleh MPS untuk mencapai status bandar raya iaitu termasuk kecekapan tadbir urus, jumlah penduduk yang mencukupi, kestabilan kewangan, pembangunan infrastruktur berkualiti, kelestarian alam sekitar dan penglibatan aktif komuniti.
“Walaupun MPS telah memenuhi beberapa kriteria, masih terdapat cabaran yang perlu diatasi untuk memastikan peralihan ke status bandaraya berjalan lancar.
“Antaranya adalah memperkukuh tadbir urus dan meningkatkan pembangunan infrastruktur moden seperti pengangkutan awam dan perumahan mampu milik,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menggalakkan pelaksanaan sesi libat urus bersama masyarakat untuk menambah baik pelan strategik ini.
Jelasnya, pendekatan ini akan memastikan semua pihak berkepentingan dapat menyumbang idea dan maklum balas bagi pembangunan daerah Sandakan.
Beliau turut menegaskan komitmen Kerajaan Negeri untuk menyokong pelaksanaan pelan strategik ini.
Joachim yakin Sandakan akan menjadi bandar raya yang bukan sahaja pintar dan lestari, tetapi juga menjadi model pembangunan mampan di Sabah.
Pada majlis yang sama, beliau menyampaikan penghargaan kepada Presiden MPS, Henry Idol yang akan berpindah manakala Timbalan Presiden I, Wilson @ Terence Thomas yang bakal bersara serta seluruh Ahli Majlis yang akan tamat tempoh pelantikan.
Turut hadir Ahli Dewan Negara, Senator Annabell Perian; Setiausaha Tetap KKTP, Datuk Dr. Jamili Nais; Setiausaha Politik KKTP, Datuk Dr. Jonnybone Kurum; Adun Dilantik, Datuk Jaffari Walliam; Pengarah UPPM Negeri Sabah yang juga ahli Majlis Perbandaran Sandakan tahun 2023-2025, Datuk Awang Kadin Tang dan Timbalan Ketua Polis Sandakan mewakili Ketua Polis Sandakan, Supt. Ramasamy Kuppan.




