KUCHING – Seorang lelaki warga asing maut selepas dirempuh sebuah kereta ketika melintas jalan di Jalan Lapangan Terbang, di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata kejadian berlaku kira-kira jam 6.50 petang melibatkan mangsa berusia 52 tahun yang bekerja sebagai pekerja am di tapak pembinaan ART.
“Siasatan awal mendapati mangsa sedang melintas jalan sebelum dilanggar sebuah Lamborghini dipandu lelaki tempatan berusia 54 tahun dari arah Jalan Lapangan Terbang menuju ke Padungan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Menurutnya, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Penolong Pegawai Perubatan dari Hospital Umum Sarawak.
Susulan kejadian, pemandu kenderaan terbabit telah ditahan bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu hingga menyebabkan kematian,” katanya.
Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun dan denda antara RM20,000 hingga RM50,000.





