
KUANTAN – Seorang pekebun cedera di perut dipercayai akibat ditikam kenalannya di kawasan perumahan Kampung Sri Damai, Jalan Gambang di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, insiden berlaku sekitar jam 7 malam ketika mangsa – lelaki berusia 38 tahun – berjumpa suspek di hadapan rumahnya.
Ketika itu, beliau berkata, suspek lelaki berusia 25 tahun dikatakan meminta mangsa mengikutnya atas alasan ada rakan mereka mahu berjumpa.
“Bagaimanapun, mangsa enggan mengikutnya sebelum suspek didakwa tiba-tiba mengeluarkan sebilah pisau sepanjang 12.7 sentimeter dari belakang seluar dan menikam perut mangsa.
“Akibat tikaman itu, mangsa mengalami koyakan di bahagian tengah perut dan kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini,” katanya, seperti dilapor Bernama.
Susulan itu, Ashari berkata, polis menahan suspek yang dipercayai terbabit dalam insiden itu.
Berdasarkan hasil siasatan awal, beliau berkata, punca kejadian dipercayai kerana suspek berdendam pada mangsa yang dikatakan membuat laporan polis terhadapnya berkaitan pengambilan bahan terlarang.
Suspek direman hingga Selasa ini bagi membantu siasatan.
Siasatan kes itu dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.


