Peguam Negara dibenar rayu semakan kehakiman Najib

PUTRAJAYA – Peguam Negara hari ini mendapat kebenaran dari Mahkamah Persekutuan untuk merayu terhadap kes semakan kehakiman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang memohon suatu perintah memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum.

Titah Adendum itu dikatakan diperkenan Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang membolehkan bekas Ahli Parlimen Pekan itu menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah, bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Panel tiga Hakim Mahkamah Persekutuan dalam keputusan hari ini turut membenarkan Peguam Negara merayu keputusan berhubung notis usul Najib bagi mengemukakan keterangan baharu atau tambahan bertarikh 3 Disember tahun lalu, lapor Berita Harian.

Keterangan baharu itu membabitkan afidavit anak Najib, Datuk Mohd Nizar yang memasukkan sesalinan Titah Adendum yang diterimanya dari pejabat Sultan Pahang, namun dilarang daripada menggunakan surat itu tanpa perkenan Sultan Pahang.

Permohonan kebenaran merayu dua notis usul itu diberikan panel secara sebulat suara.

Panel dipengerusikan Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim yang bersidang bersama-sama Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Hanipah Farikullah.

Panel membuat keputusan itu selepas mendapati tujuh persoalan undang-undang dikemukakan Peguam Negara bersama-sama dalam permohonan kebenaran itu adalah isu baharu yang belum pernah didengar dan menyentuh isu kepentingan awam.

Keputusan panel dalam prosiding berkenaan dibacakan oleh Hasnah, dan mahkamah kemudian menetapkan 1 dan 2 Julai ini untuk mendengar rayuan Peguam Negara, Mohd Dusuki Mokhtar.

Hasnah berkata, tujuh persoalan undang-undang dicadangkan Peguam Negara adalah berkaitan isu penerimaan keterangan baharu atau tambahan dan isu peranan Peguam Negara dalam prosiding semakan kehakiman.

“Dalam mempertimbangkan permohonan kebenaran untuk merayu ini, kami dipandu oleh Seksyen 96 Akta Kehakiman Mahkamah 1964 dan prinsip yang digariskan dalam kes terdahulu.

“Selepas meneliti sepenuhnya hujahan bertulis, hujahan lisan, dan merujuk kepada nas perundangan kedua-dua pihak, kami sebulat suara berpendapat persoalan undang-undang yang dikemukakan melepasi ambang peruntukan Seksyen 96.

“Soalan dikemukakan adalah novel (baharu) dan penting kepada kepentingan awam, serta wajar dihujahkan lebih lanjut di hadapan mahkamah ini.

“Ia berkaitan prinsip mengemukakan keterangan baharu dalam prosiding semakan kehakiman,” katanya.

Hasnah berkata, tujuh persoalan itu penting kepada orang ramai dan boleh membimbing mahkamah dalam menangani isu keterangan baharu atau tambahan.

Beliau berkata, ia juga berkaitan peranan Peguam Negara dalam prosiding semakan kehakiman, iaitu sama ada beliau mempunyai kewajipan mengesahkan dan mengemukakan dokumen dipertikai, dan sama ada beliau perlu mempertahankan atau mengesahkan keterangan di peringkat awal prosiding semakan kehakiman.

Katanya, mahkamah tidak bersetuju mengenai isu dibangkitkan responden (Najib) bahawa Peguam Negara tidak akan terjejas kerana masih boleh berhujah di Mahkamah Tinggi mengenai kebolehterimaan keterangan baharu.

“Ini kerana apabila Mahkamah Rayuan membenarkan keterangan baharu atau tambahan, Mahkamah Tinggi tidak lagi bebas untuk membuat keputusan mengenainya, dan pemohon pasti akan terjejas,” katanya.

Pada 6 Januari lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Najib memulakan prosiding semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi bagi suatu perintah memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab serta mengesahkan kewujudan Titah Adendum bertarikh Januari tahun lalu.

Dalam semakan kehakiman itu, Najib menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM serta Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Antara relif dipohon dalam semakan kehakiman itu ialah supaya semua atau seorang daripada responden memberikan salinan titah utama oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 berhubung pengurangan hukuman penjara dan denda terhadapnya.

Najib juga memohon perintah – jika titah itu wujud – semua responden atau seorang daripada mereka perlu melaksanakannya dengan memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur serta merta untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah.

Najib yang sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan diraja pada 2 September 2022.

Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjaranya dari 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Pada 3 Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Najib memulakan prosiding semakan kehakiman, sebelum beliau merayu keputusan berkenaan di Mahkamah Rayuan.

Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa empat afidavit yang menyokong dakwaan Najib, termasuk kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, adalah khabar angin serta tidak boleh diterima sebagai bukti.

Related Posts

Pihak desak UEC kena faham sejarah dan Perlembagaan negara – KP JKOM

PIHAK yang mendesak pelaksanaan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) perlu memahami sejarah kenegeraan sehingga terbentuk Perlembagaan negara. Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi dan Komuniti (JKOM), Datuk Ismail Yusop menegaskan, jika ada sebarang…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Thailand-Kemboja perlu henti provokasi bermula malam ini

PUTRAJAYA – Malaysia menggesa Thailand dan Kemboja menghentikan segala bentuk permusuhan serta tidak melakukan sebarang tindakan ketenteraan lanjut, termasuk penggunaan kekerasan atau menggerakkan pasukan bersenjata ke barisan hadapan, bermula 10…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

KPM komited atasi keciciran prasekolah, pemerkasaan dipergiat tahun hadapan

KPM komited atasi keciciran prasekolah, pemerkasaan dipergiat tahun hadapan

Regatta Lingga 2025 medan pertarungan Raja-Raja Sungai seluruh Sarawak

Regatta Lingga 2025  medan pertarungan Raja-Raja Sungai seluruh Sarawak

Regatta Lingga 2025 tingkatkan perpaduan, keharmonian kaum rakyat Sarawak

Regatta Lingga 2025 tingkatkan perpaduan, keharmonian kaum rakyat Sarawak

Anggun Suri Bentong rai 8 pasangan pengantin

Anggun Suri Bentong rai 8 pasangan pengantin

Rumah transit lindungi kanak-kanak akan diusahakan – Rina Jainal

  • By Fatin
  • December 13, 2025
Rumah transit lindungi kanak-kanak akan diusahakan – Rina Jainal

Pihak desak UEC kena faham sejarah dan Perlembagaan negara – KP JKOM

Pihak desak UEC kena faham sejarah dan Perlembagaan negara – KP JKOM