PUTRAJAYA – Kerajaan sudah mengenal pasti pegawai terlibat dalam kesilapan ilustrasi Jalur Gemilang dalam Laporan Analisis Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024, baru-baru ini.
Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, tindakan sedang diambil menerusi Lembaga Disiplin Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Lembaga Tatatertib Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
“Kesemua yang terlibat itu telah pun dikenal pasti yang mana ada dua kumpulan iaitu atas dan di bawah Gred 48 (Gred 12).
“Pegawai di bawah Gred 48 akan dikendalikan oleh KPM dan gred atas 48 akan diambil tindakan oleh JPA,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan penutupan Persidangan Anti Rasuah Asia Tenggara di sini, hari ini.
Katanya, laporan mengenai insiden itu sudah dihantar KPM kepada JPA.
“Ya, sedang dan akan diambil tindakan,” ujarnya lagi.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai perkembangan siasatan perkara itu.
Kesilapan ilustrasi Jalur Gemilang janaan kecerdasan buatan (AI) dikesan di beberapa muka surat dalam laporan diedarkan semasa sidang media keputusan SPM pada Khamis, minggu lalu.
Dokumen itu turut dimuat naik ke laman sesawang jam 10 pagi, namun diturunkan selepas KPM menyedari kesilapan berkenaan selain menyatakan tindakan tegas akan diambil.




