BIAR PUN laluan mempertahankan gelaran Terbuka Hong Kong kini cerah, beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah tetap mahu kekal fokus tanpa terbeban dengan status pilihan utama.
Tersingkirnya juara dunia dari China, Liu Sheng Shu-Tan Ning di pusingan kedua meletakkan Pearly-Thinaah – selaku pilihan kedua – sebagai calon utama menjulang kejuaraan.
Namun, naib juara dunia itu enggan membiarkan jangkaan tinggi menjejaskan tumpuan mereka.
“Kami tidak terlalu memikirkan soal siapa pilihan utama. Fokus kami tetap kepada permainan sendiri, strategi dan konsistensi, dengan memberi tumpuan mata demi mata, langkah demi langkah,” kata Thinaah kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Dalam misi mara ke final, Pearly-Thinaah berdepan cabaran getir apabila dijadual menentang pasangan nombor empat dunia dari China, Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian, di separuh akhir esok.
Terdahulu, mereka tidak berdepan masalah mengetepikan cabaran rakan senegara, Go Pei Kee-Teoh Mei Xing, dengan kemenangan straight set 21-12, 21-15 dalam tempoh 31 minit di Hong Kong Coliseum.
Yi Fan-Shu Xian pula mara selepas mengatasi gandingan Taiwan, Hsieh Pei Shan-Hung En Tzu, 21-12, 21-7.
Daripada lima pertemuan, Pearly-Thinaah hanya sekali menewaskan Yi Fan-Shu Xian iaitu pada pertemuan pertama mereka, manakala empat aksi berikutnya memihak kepada beregu China itu.





