
KUCHING – Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sarawak melaksanakan Program Advokasi Kempen Keselamatan Jalan Raya selama enam hari bermula 23 hingga 28 Disember ini sebagai persediaan menghadapi peningkatan trafik sempena perayaan Hari Krismas 2025.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, kempen tersebut melibatkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) serta semua cawangan dan jabatan dalam PDRM Kontinjen Sarawak di setiap daerah.
Menurut beliau, kempen ini bertujuan mencapai tiga objektif utama, iaitu mengurangkan kadar kemalangan jalan raya sepanjang musim perayaan, meningkatkan tahap penguatkuasaan undang-undang lalu lintas, serta memberi jaminan keselamatan kepada pengguna jalan raya.
“Bagi memastikan aliran trafik terkawal, pegawai dan anggota polis akan ditempatkan di lokasi-lokasi strategik yang dikenal pasti sebagai kawasan kerap berlakunya kemalangan.
“Kehadiran anggota di lapangan juga bertujuan memudahkan tindakan penguatkuasaan sekiranya berlaku sebarang pelanggaran undang-undang trafik,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, lebih 700 pegawai dan anggota polis daripada pelbagai cawangan akan dikerahkan sepanjang tempoh kempen bagi menjalankan tugas penguatkuasaan selain memberikan pendidikan keselamatan jalan raya kepada masyarakat.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya dan arahan pihak berkuasa.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pengguna jalan raya yang didapati melanggar peraturan sepanjang musim perayaan ini,” katanya.
Beliau turut menegaskan keselamatan diri dan keluarga perlu menjadi keutamaan setiap pengguna jalan raya.





