
PUTRAJAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menahan Yang Dipertua Pas Sungai Buloh, Zaharudin Muhammad pada Isnin bagi membantu siasatan insiden kekecohan yang berlaku ketika operasi pengosongan bangunan di beberapa rumah di Kampung Sungai Baru
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, penahanan Zaharudin dijalankan untuk siasatan mengikut Seksyen 186, Seksyen 353 dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
“Saya sahkan penahanan terbabit (Zaharudin) bersabit kes Kampung Sungai Baru tempoh hari,” katanya ringkas kepada The Malaysia Press (TMP) pada Isnin.

Seksyen 186 berkaitan kesalahan menghalang penjawat awam menjalankan tugasnya, manakala Seksyen 324 kerana menyebabkan kecederaan secara sukarela menggunakan senjata berbahaya.
Seksyen 353 pula berkaitan penggunaan kekerasan jenayah bagi menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
Terdahulu, Zaharudin yang juga menantu Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang itu difahamkan ditahan di kediamannya di tengah malam Ahad.
Perkara itu disahkan oleh Pas Selangor yang memaklumkan Zaharuddin ditahan di rumahnya kira-kira 1.30 pagi tadi berhubung pengusiran beberapa penduduk Kampung Sungai Baru.
Sebelum ini, Sulizmie Affendy cedera semasa mengawal keadaan ketika operasi pengosongan bangunan di beberapa rumah di Kampung Sungai Baru, di sini.
Operasi berkenaan susulan arahan mahkamah bagi melaksanakan proses merobohkan struktur rumah di kawasan berkenaan.
Susulan kekecohan itu, tujuh individu termasuk ketua sebuah pertubuhan ditahan bagi membantu siasatan berhubung kekecohan dan mencederakan Ketua Polis Daerah Dang Wangi ketika operasi pengosongan bangunan di Kampung Sungai Baru, Sabtu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus dilaporkan berkata, kesemua suspek yang ditahan berusia antara 15 hingga 52 tahun.






