
KLUANG – Peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) yang dimansuhkan pada 2022 wajar dikembalikan semula agar sistem pendidikan negara dapat diperkasakan secara holistik.
Setiausaha Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Dr Anuar Ahmad berkata, pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) yang dilaksanakan ketika ini dilihat tidak berkesan dalam membentuk kemenjadian murid.
Menurutnya, UPSR penting kerana ia bertujuan menguji keupayaan murid dalam membaca, menulis dan mengira (3M), manakala PT3 pula bertujuan melihat kecenderungan pelajar dalam bidang tertentu seperti Sains, Sastera, Ekonomi, Keusahawanan, Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan sebagainya.

“Apa yang berlaku ketika ini, Kementerian Pendidikan (KPM) tidak ada sistem untuk mengetahui tahap penguasaan 3M murid di sekolah rendah melainkan pemarkahan oleh guru kepada murid dalam bilik darjah.
“Negara sedang menghadapi isu kekurangan pelajar dalam aliran sains di sekolah menengah dan jika PMR atau PT3 diwujudkan, ia akan menjadi mekanisme untuk menentukan tahap kemampuan pelajar bagi mengikuti aliran apa pada tahun seterusnya,” katanya kepada The Malaysia Press, hari ini.
Mengulas lanjut, Anuar berkata, PBD yang diamalkan di Malaysia diambil dari negara luar seperti Eropah yang kemudiannya dilaksanakan di sekolah di sini.
“Pelaksanaan PBD di negara maju menunjukkan kesan yang baik sehingga berjaya meningkatkan motivasi dan kualiti murid dalam pengajaran. Namun, di Malaysia ia berhadapan dengan beberapa isu dan akhirnya tidak berjaya dengan berkesan kerana ibu bapa merasakan ia tidak membantu anak mereka.
“Sistem PBD memang baik kerana menaksir murid secara holistik tetapi di negara kita, ia ditolak kerana gagal dirancang secara berkesan, selain ekosistem yang lemah. Jika kita tidak mampu melakukannya, jalan lebih baik ialah laksanakan UPSR dan PT3,” katanya.
Dalam pada itu, Anuar berkata, silibus di Malaysia masih di takuk lama yang tidak menggunakan sistem seperti negara maju dengan kurikulum ringkas, mudah, selain ringan berikutan pelaksanaan PBD adalah berasakan aktiviti di dalam kelas.
Beliau yang juga Pakar Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menegaskan, silibus yang ada ketika itu untuk tujuan peperiksaan, tidak diubahsuai atau dirombak walaupun peperiksaan dimansuhkan.
“Oleh sebab itu, kita dapat melihat silibus mereka masih banyak, padat dan tinggi kerana ia bertujuan untuk menjawab peperiksaan.
“Malah, guru pula mempunyai silibus yang ringkas, fleksibel dan akan merancang pelbagai aktiviti di dalam kelas. Berdasarkan pelbagai aktiviti di dalam kelas itulah penilaian akan dilakukan terhadap murid,” katanya
Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, dasar pendidikan berhubung peperiksaan bagi pelajar Tahun Enam dan Tingkatan Tiga perlu disemak semula dan dirombak selepas kewujudan masalah pelajar tidak mahir 3M.
Katanya, perbincangan bersama KPM dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebelum ini menyedari isu 3M adalah antara punca 10,177 pelajar tidak menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu.
Sementara itu, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP), Fouzi Singon berkata, pihaknya menyokong dasar pendidikan yang dibangunkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada masa kini kerana selaras dengan dasar pendidikan dunia yang mengamalkan konsep ‘fun learning’.

“Namun, NUTP berpandangan KPM perlu memperkasakan promosi dasar yang dibangunkan bagi memberi kefahaman kepada masyarakat yang masih keliru dengan dasar Pendidikan negara.
“NUTP tidak mahu jika peperiksaan berpusat dikembalikan, guru-guru akan bermati-matian membuat kelas tambahan dan sebagainya untuk memberi fokus kepada murid yang menduduki peperiksaan yang akhirnya murid Tahun Satu, Dua dan Tiga pula terabai,” katanya.