
KOTA KINABALU – Kerajaan Sabah terus menunjukkan komitmen tinggi dalam memastikan pendidikan, kebajikan dan akses kepada pendidikan berkualiti anak watan negeri ini terjamin.
Perkara itu diumum Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun menerusi pembentangan Belanjawan 2026 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, pada Jumaat.
Masidi yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, bagi melahirkan modal insan yang
berkualiti serta memberi peluang kepada lebih ramai lagi anak-anak watan Sabah melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, pelbagai bantuan pendidikan berbentuk dana dan kemudahan disediakan serta diteruskan oleh Kerajaan Sabah.
Antara perkara yang diberi perhatian adalah Bantuan Pendaftaran Yuran MUET (BAYU) sebanyak RM150 seorang dijangka memberi manfaat kepada 8,458 orang pelajar yang akan menduduki peperiksaan Malaysian University English Test (MUET) pada tahun hadapan.
13 inisiatif Bantuan Pendidikan sedia ada juga akan diteruskan antaranya Bantuan Tunai Pendaftaran IPT secara One Off (BUDI); Bantuan Ihsan Komputer (BAIK); Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI); Bantuan Tiket Penerbangan Pelajar Sabah (SUBFLY) serta Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Sabah (SENTOSA).
Seterusnya, biasiswa, dermasiswa dan bantuan kepada pelajar di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam Sabah juga akan diteruskan.






