
TAIPING – Sepasang suami isteri warga emas orang kurang upaya (OKU) berjaya diselamatkan oleh pihak Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) selepas rumah mereka dinaiki air sedalam 0.7 meter akibat banjir kilat di Kampung Salak Baru, Trong, di sini, petang Khamis.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, banjir kilat susulan hujan lebat berterusan itu mengakibatkan rumah pasangan masing-masing berusia 75 dan 52 tahun dinaiki air dan hanya mampu menunggu untuk diselamatkan.
Ujarnya, pihak bomba menerima panggilan berhubung kejadian itu sekitar jam 4.52 petang sebelum anggota dari balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Trong ke lokasi jam 5.05 petang.
“Rumah pasangan tersebut dinaiki air dengan kedalaman 0.7 meter. Kejadian banjir kilat itu melibatkan sebuah rumah yang berhampiran dengan sungai.
“Ketika sampai, terdapat pasangan suami isteri warga emas OKU berada dalam rumah. Bomba membuat kerja menyelamat dengan mengeluarkan mangsa berkenaan keluar ke kawasan lebih selamat,” jelasnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis.

Mengulas lanjut, Sabarodzi berkata, mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Pihak polis membantu menghantar mangsa berpindah ke rumah saudara mereka berhampiran,” ujar beliau.
Operasi dengan kekuatan seramai enam anggota itu tamat jam 5.21.
Sebelum ini Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan hujan lebat bakal melanda seluruh negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak termasuk Wilayah Persekutuan Putrajaya.




