
KUANTAN – Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan sumbangan kepada seorang bapa membesarkan 16 anak, dikenali sebagai Salim, di Kampung Chengal Lempong, dekat sini.
Sumbangan berupa wang tunai dan bakul makanan itu disampaikan oleh Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi dalam siri Ziarah Madani.
“Perdana Menteri juga cukup prihatin dengan keperluan untuk membaik pulih rumah keluarga Encik Salim dan telah pun mengarahkan usaha membaik pulih rumah keluarga ini untuk dilaksanakan,” kata Ahmad Farhan menerusi hantaran menerusi Facebook.
Hantaran itu kemudiannya dikongsi oleh Anwar.
Ahmad Farhan kagum dengan ketabahan Salim bersama isteri membesarkan 16 anak dengan lapan daripadanya tinggal bersama di rumah kecil itu, empat daripada mereka masih bersekolah.
“Sempat saya berbual bersama, beliau menceritakan dengan pendapatan hanya RM1,000 sebulan, sukar untuk beliau membaiki keadaan rumah kecil ini… keperluan anak-anak menjadi keutamaannya.
“Kehidupan Encik Salim mungkin mencabar, tetapi beliau tidak pernah berhenti mengerah kudrat yang ada untuk terus menyara keluarga.
“Saya mendoakan Encik Salim dan keluarga terus cekal menjalani hari-hari mendatang,” katanya.