
PUTRAJAYA – Pas giat mengatur naratif ‘Islam terancam’ kerana Kerajaan Perpaduan berjaya menyuburkan Islam di Malaysia.
Penasihat Agama kepada Timbalan Perdana Menteri 1, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada Muktamar Pas menzahirkan propaganda kononnya bukan Islam naik kepala kerana pemimpin lemah dengan menunggang kes isu halal.
Khairuddin berkata, perkara ini adalah tidak benar apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan pantas menegur Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok berkenaan isu itu.
“Pimpinan Pemuda UMNO juga tidak ketinggalan. Pihak berkuasa juga segera menyiasat beliau atas nama 3R (raja, agama dan kaum).
“Saya sendiri turut memberikan pandangan dalam isu mewajibkan persijilan halal kepada pengusaha makanan non Muslim sebagai respons pada pandangan Teresa.
“Itu semua gambaran ketegasan Kerajaan Perpaduan dalam memperkasa dan menyuburkan Islam khusus dalam isu yang boleh disensasikan atau disalah fahamkan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Jelasnya, Malaysia sangat ke hadapan dalam isu halal malah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sendiri mempengerusikan jawatankuasa Kabinet untuk isu persijilan halal dengan diumumkan Oktober tahun lepas permohonan Sijil Halal akan diproses dalam tempoh 23 hari bekerja sebagai satu pembaharuan dalam aspek teknikal.
Sementara itu, Khairuddin berkata, Islam subur dengan pelbagai lagi agenda baru pendidikan Islam seperti Pra Tahfiz di semua lebih 10,000 tadika Kemas seluruh negara selepas kejayaan pelaksanaannya di 4,145 buah Tadika Kemas melibatkan 62,172 pelajar sekarang digerakkan oleh Ahmad Zahid dengan sasaran 140,000 huffaz cilik pada 2026.
“Semua 57 buah MRSM melibatkan 37,000 pelajar beraliran sains diarahkan untuk menggunakan sistem integrasi Sains dan Tahfiz yang dikenali sebagai Ulul Albab bagi melahirkan profesional huffaz.
“Sambutan Himpunan 24,000 Huffaz pada 14 September 2024 nanti yang digerakkan oleh Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri adalah syiar kepada Dasar Pendidikan Tahfiz Negara 2.0 yang telah dilancarkan pelan tindakannya tahun lepas,” katanya.
Tambahnya lagi, Presiden UMNO menegaskan kepentingan Islah dalam pendidikan bagi melahirkan generasi Rabbani yang berakhlak Karimah, menjadi Qudwah Hasanah dan mengangkat Izzah Malaysia sebagai negara Islam.
Selain itu, komitmen UMNO dan Kerajaan Perpaduan jika dibanding ucapan Presiden Pas yang penuh retorik, akan diperluaskan juga cadangan sukatan integrasi Tahfiz Ulul Albab ke sekolah rendah dan menengah agama bantuan kerajaan.
“Peruntukan untuk Sekolah Agama Rakyat (SAR) dikembalikan oleh Anwar setelah sekian lama dikuburkan oleh penasihat SG4 Perikatan Nasional, Tun Mahathir yang sedang diagungkan oleh Presiden dan penyokong Pas sekarang.
“Di mata dunia, Malaysia di bawah kepimpinan Anwar menjuarai isu Palestin di pentas antarabangsa seperti mana ucapan tegas beliau ketika sepentas dengan Presiden Rusia dan China. Rakyat Palestin memberikan penghormatan besar atas usaha beliau yang sangat bermakna itu ke arah Palestin Merdeka.
“Segala komitmen Islam Perdana Menteri dalam Kerajaan Perpaduan turut diperakui oleh tokoh-tokoh ulama dunia termasuk Syeikh Al-Azhar, Prof Dr Ahmad Tayyib dan Syeikh Prof. Dr Ali Qaradaghi, Pengerusi Kesatuan Ulama Islam Sedunia.
“Malah Syeikh Dr Ali sendiri berpesan kepada saya bukan sekali untuk terus mendokong usaha-usaha Islam Kerajaan Perpaduan,” ujarnya.
Justeru katanya, Pas sekadar melaung-laungkan slogan kosong dan Abdul Hadi terpaksa berucap penuh retorik pada Muktamar Pas berbanding menggerakkan kerja untuk umat Islam di Malaysia dan antarabangsa.