KUANTAN – Peminat jentera roda dua dari Singapura dan Thailand dijangka memeriahkan program permotoran ‘International Attack Kuantan 2.0’ awal tahun hadapan.
Edisi kedua penganjuran program itu dijadualkan pada 31 Januari hingga 1 Februari 2025 di pekarangan menara Kuantan 188, dekat sini.
Mengambil tema ‘Hentikan Rempit: Sayangi Motor Anda’, ia dianjurkan melalui kerjasama antara pihak pengurusan Kuantan 188 dan Double 33 Event Management.
Ketua Pembangunan Perniagaaan, Pemasaran dan Jualan Kuantan 188, Abdul Jamil Mohamed berkata, selain pameran dan pertandingan modifikasi motosikal paling menarik, dua kategori khusus untuk pelajar sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi (IPT) turut disediakan kepada mereka yang mengambil bahagian.
“Bagi kategori pelajar ini, syarat ditetapkan kepada mereka adalah memiliki lesen memandu yang sah dan modifikasi dilakukan terhadap jentera mereka adalah mengikut garis panduan ditetapkan pihak polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan,” katanya.
Beliau menganggarkan kira-kira 300 peserta akan mengambil bahagian dalam program berkenaan.
Katanya, penganjuran program permotoran seperti itu juga dijangka menarik perhatian ribuan peminat motosikal dari seluruh negara.
“Kita sedang meneroka kerjasama dengan agensi kerajaan dan pihak berkuasa untuk memastikan kelancaran program ini.
“Bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut berkaitan ‘International Attack Kuantan 2.0’ boleh menghubungi kami di talian 013-2327331,” katanya.






