PERDANA Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif berhasrat menghantar sumbangan bagi meringankan beban rakyat Malaysia yang terkesan akibat banjir sebagai tanda solidariti.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dizahirkan rakan sejawatnya menerusi perbualan telefon petang tadi dan Shehbaz turut menyatakan simpati kepada Malaysia susulan musibah itu.
“PM Shehbaz mendoakan perlindungan dan kesejahteraan kepada lebih 140,000 rakyat Malaysia di beberapa negeri yang terkesan bencana banjir.
“Saya nyatakan penghargaan tertinggi atas sifat murah hati PM Shehbaz dan mengalu-alukan sumbangan itu bagi menghargai persahabatan erat Malaysia-Pakistan,” kata Perdana Menteri menerusi hantaran di laman Facebook, hari ini.
Anwar turut mengucapkan terima kasih atas keprihatinan kerajaan Pakistan dan menjemput Shehbaz berkunjung ke Malaysia pada awal tahun depan.
Menerusi hantaran sama, Anwar juga berkata, keutamaan dan perhatian sepenuhnya kini tertumpu kepada kebajikan serta keselamatan mangsa banjir.
“Semoga Allah mengangkat musibah ini sesegera mungkin,” katanya.
Selain Kelantan yang paling teruk terkesan akibat bencana itu, banjir turut melanda Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan, Perlis, Johor, Melaka, Perak dan Selangor.







