LIPIS – Kerajaan Pahang bersedia mempertimbangkan cadangan pembinaan laluan keretapi di Cameron Highlands sekiranya projek itu dapat memberi impak yang besar kepada rakyat.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bagaimanapun memaklumkan, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang cadangan rasmi berkaitan hal itu daripada mana-mana pihak.
“Jika ada cadangan (pembinaan laluan keretapi) secara formal, kita akan kaji dan teliti.
“Jika ia dapat beri kemudahan (kepada orang ramai) dan mempertingkatkan infrastuktur di situ… kita akan mempertimbangkannya,” katanya, lapor Bernama.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penyampaian Inisiatif Makmur (IM) Pahang kepada Kluster Agama (Masjid dan Surau Kebenaran Solat Jumaat) Negeri Pahang Tahun 2025 Zon Pahang Barat di Laman Sejahtera Sungai Koyan, di sini, hari ini
Sebelum ini terdapat khabar angin berkaitan cadangan pembinaan laluan keretapi di Cameron Highlands membabitkan kawasan Tanah Rata, Brinchang dan Blue Valley.
Jika direalisasikan, projek itu dijangka berupaya mengatasi masalah kesesakan jalan raya yang kritikal di destinasi pelancongan terkemuka itu.
Dalam perkembangan lain, mengulas berkaitan program dihadirinya, Wan Rosdy berkata di bawah program IM Pahang, Kerajaan Pahang memperuntukkan RM6.97 juta melibatkan 697 buah masjid dan surau kebenaran solat Jumaat di seluruh negeri ini secara berperingkat mengikut zon pada tahun ini.
Beliau berkata, ia dilakukan bagi memastikan agihan diberikan secara adil, telus dan memberi impak maksimum kepada komuniti setempat.
“Zon Pahang Tengah dan Zon Pahang Timur kita telah agihkan pada September dan November lalu melibatkan 521 masjid dan surau dengan peruntukan RM5.21 juta.
“Hari ini kita meneruskan agihan bagi Zon Pahang Barat melibatkan 176 masjid dan surau dengan peruntukan RM1.76 juta,” katanya.
Beliau berkata, melalui Belanjawan Negeri Pahang 2026, Kerajaan Pahang akan meneruskan IM Pahang dengan peruntukan RM84.59 juta, meningkat sebanyak 67.37 peratus berbanding tahun ini iaitu RM50.54 juta.
Katanya, program IM Pahang itu membabitkan empat kluster iaitu Kluster Pelajar, Kluster Agama, Kluster B40 dan Kluster Umum dengan 24 inisiatif.






