SEJUMLAH RM2 juta diperuntukkan Kerajaan Pahang untuk penganjuran Liga Bolasepak Peringkat Daerah, Negeri yang akan diadakan pada tahun depan.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal berkata, penganjuran liga itu sebagai usaha menyemarakkan sukan bola sepak di negeri berkenaan.
“Saya berterima kasih kepada Menteri Besar Pahang (Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail) kerana bermula tahun depan, akan ada Liga Bolasepak di peringkat daerah dan negeri.
“Dalam Belanjawan Pahang 2026, insha-Allah, Menteri Besar meluluskan peruntukan RM2 juta untuk menyemarakkan sukan bola sepak di negeri Pahang,” katanya, lapor Berita Harian.
Fadzli berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Mohd Zakhwan Ahmad Badardin (Pas-Tahan) pada Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Mengulas status padang Jerantut FA, beliau berkata, kerajaan negeri sedang memperincikan jumlah kos membaik pulih padang itu yang tidak sesuai untuk pertandingan bola sepak.
Katanya, selepas proses perincian selesai, kerajaan negeri akan memohon peruntukan daripada Kementerian Belia dan Sukan.




