
NIBONG TEBAL – Setiap kali Hari Guru, calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Dr Joohari Ariffin pastinya terkenang pelbagai kenangan manis sepanjang menjadi pendidik selama 33 tahun.
Dalam tempoh tersebut, banyak pengalaman manis dan pahit termasuk berdepan kekangan apabila bergiat aktif di dalam PKR, namun ia langsung tidak mematahkan semangat dalam mendidik anak bangsa.
Joohari memulakan tugas sebagai guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Serdang, Kedah (1990-1997), SMK Saujana Indah, Nibong Tebal, Pulau Pinang (1998-2002), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Nibong Tebal, Pulau Pinang (2003-2006) dan Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara (IABCU) (2006-2023).
Walaupun telah bergelar pensyarah pada 2006, antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan adalah semasa mengajar di sekolah berikutan penduduk di situ sentiasa ada untuk membantu dan hubungan baik itu kekal sehingga kini dan ada yang sanggup datang mengunjunginya di Pulau Pinang.
Beliau yang lebih mesra disapa Cikgu Joohari berkata, hubungan kekeluargaan itu kekal sehingga kini dan beliau tidak pernah rasa tersisih sepanjang bergelar seorang pendidik.
“Apa yang membuatkan saya seronok sebagai seorang guru ini juga apabila kita mempunyai ramai kenalan termasuk bekas-bekas anak murid yang sentiasa ingat kita meskipun ke mana sahaja kita pergi.
“Pelbagai pencapaian saya terima sepanjang bergelar guru namun bagi saya pencapaian akademik adalah yang paling manis. Saya ini beruntung, kerana dari saya sekolah menengah sehingga melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Kedoktoran (PhD) saya terima biasiswa. Inilah pengiktirafan terbaik bagi saya kerana ilmu itu bermanfaat dalam membantu masyarakat,” katanya ketika temuramah eksklusif bersama The Malaysia Press.
Mengulas lanjut, Cikgu Joohari berkata, guru merupakan bidang cukup istimewa yang mampu melahirkan kesyukuran ke hadrat Illahi selepas melihat anak didik mampu mengharumkan nama keluarga dan negara.
“Apabila kita jumpa kembali bekas anak murid kita, ia juga memberi motivasi untuk kita lebih kuat menjalani kehidupan. Apabila kita melihat murid kita berjaya, itu adalah satu kepuasan.
“Saya cukup bangga pernah bergelar guru dan pengalaman itu banyak membantu saya apabila menjadi calon (PH). Kita tidak pernah bezakan anak murid, sama juga sekarang tidak membezakan seluruh rakyat,” katanya.
Sehubungan itu, Cikgu Joohari menasihatkan mereka yang menceburi bidang perguruan ini agar mendidik anak bangsa dengan seikhlas hati, bukan sekadar demi tuntutan kerja semata-mata.
“Menjadi seorang guru adalah amanah dan tanggungjawab yang cukup besar dan ia bukan sekadar profesion semata-mata, jadi teruslah mendidik anak-anak ini,” katanya.
Jawatan terakhir Cikgu Joohari ialah Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara sebelum bersara pada usia 59 tahun, pada 2023 dan terpilih untuk menjadi calon PH dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap.
PRK Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Cikgu Joohari dan bekas eksekutif logistik, Abidin Ismail.
Berdasarkan Daftar Pemilih Pilihan Raya setakat 24 Mei lalu, sejumlah 39,279 orang layak menunaikan tanggungjawab masing-masing pada PRK itu membabitkan 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 2 Julai ini bagi tarikh mengundi awal dan 6 Julai sebagai hari mengundi.