
GERIK – Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara berjaya merampas 117 ekor kambing dan 18 ekor lembu bersama dua buah lori yang dipercayai diseludup dari negara jiran dalam Ops Taring Kandang di Jalan Baling–Gerik, di sini, pada Ahad.
Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta, Senior Asisten Komisioner Singh Mahindar Singh berkata, dalam operasi berkenaan, empat lelaki tempatan berusia antara 23 hingga 35 tahun turut ditahan dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM686,300.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati kesemua suspek dipercayai terlibat dalam kegiatan memindahkan haiwan ternakan dari negeri-negeri Pantai Timur ke kawasan Utara tanpa sebarang permit atau dokumen kebenaran bertulis yang sah daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).
“Kesemua kambing dan lembu tersebut juga dipercayai diseludup masuk dari negara jiran melalui jalan tikus di sempadan negara sebelum dipindahkan ke lokasi lain.
“Siasatan lanjut mendapati kegiatan ini dipercayai telah dijalankan secara berulang sejak tiga bulan lalu,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menjelaskan, modus operandi yang digunakan adalah dengan menutup bahagian belakang lori menggunakan kain kanvas serta meninggalkan sedikit ruang di bahagian atas bagi tujuan pengudaraan haiwan ternakan.
Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953 dan semua haiwan yang dirampas telah diserahkan kepada JPV untuk tindakan lanjut.
Operasi tersebut turut melibatkan Cawangan Risik Ibu Pejabat Briged Utara PGA dengan kerjasama JPV Perak serta Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik.






