
KOTA KINABALU – Seramai lima individu dikompaun di sekitar kawasan Segama dan KK Plaza menerusi Ops Bersih oleh Unit Kawal Selia, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) di sini pada Khamis.
Menurut kenyataan yang dimuat naik menerusi Facebook KK Bersih & Hijau, Ops Bersih merupakan operasi penguatkuasaan Undang-Undang Kecil (UUK) Bandaraya Kota Kinabalu (Anti Sampah Sarap) 1984 Pindaan 2005 yang dijalankan setiap hari.
“Ia bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan menjaga kebersihan juga memberi pengajaran kepada individu-individu yang mengotorkan persekitaran bandar raya.
“Sasaran operasi ini adalah individu atau syarikat yang mengotorkan atau membuang sampah di tempat awam,” katanya pada Jumaat.
Jelasnya, kesalahan yang selalu ditemui adalah membuang puntungan rokok, tisu, botol minuman dan bekas makanan.
Katanya, pesalah akan diberi pilihan sama ada membayar kompaun serta-merta tidak kurang dari RM30 dan tidak lebih dari RM500 mengikut jenis dan jumlah sampah yang dibuang atau hadir di mahkamah.
Oleh itu, orang awam diingatkan untuk menjaga kebersihan persekitaran bandaraya Kota Kinabalu dengan tidak membuang sampah atau mengotorkan persekitaran bandar raya.



