KUANTAN – Hanya berbaki 0.01 hektar daripada 2.02 hektar kebakaran sampah belum dipadamkan di Pusat Pelupusan Sampah Gebeng, Jalan Jerangau-Jabor, di sini, setakat semalam.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, kebakaran yang memasuki hari keempat itu dalam keadaan terkawal.
Katanya, berdasarkan laporan, jumlah kawasan yang berjaya dipadamkan 2.01 hektar termasuk 0.01 hektar hari ini, sebelum ditangguhkan operasi pada jam 6.15 petang.
“Baki 0.01 hektar yang belum dipadam akan disambung esok untuk memastikan kebakaran sampah berjaya dipadam sepenuhnya.
“Seramai tiga anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Gebeng serta dibantu empat pekerja pusat pelupusan terbabit dalam operasi, hari ini,” katanya, lapor Berita Harian.
Sementara itu, beliau berkata, kebakaran sampah turut dilaporkan berlaku di Kampung Bukit Palas, Gebeng di sini membabitkan kawasan seluas 24 hektar.
Katanya, daripada jumlah itu, 9.81 hektar berjaya dipadamkan dalam kebakaran yang memasuki hari kedua itu.
“Baki kawasan terbakar yang belum dipadamkan ialah seluas 14.19 hektar apabila operasi tangguhkan pada jam 7.07 malam tadi,” katanya.







