
LAHAD DATU – Seramai 1,071 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Filipina berjaya dipindah ke negara asal menerusi Operasi Mega PATI Jabatan Imigresen Malaysia Sabah, baru-baru ini.
Operasi itu melibatkan pemindahan seramai 180 PATI pada Isnin lepas dan 891 PATI pada Khamis berumur tiga hari hingga 82 tahun.
Pengarahnya, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata, kesemua PATI yang dipindahkan ke Bongao dan Zamboanga itu adalah daripada Depot Imigresen Papar, Depot Imigresen Sandakan dan Depot Imigresen Tawau.
“Kesemua PATI selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang yang telah ditetapkan serta mempunyai Travel Documents yang sah dan dikeluarkan oleh pihak Kedutaan Republik Filipina untuk melayakkan diri mengikuti proses pemindahan asing ke negara asal.
“Kanak-kanak yang mengikuti program pemindahan ini turut diiringi oleh ibu bapa atau penjaga yang sah,” katanya dalam kenyataan media, pada Jumaat.

Menurut Sh Sitti Saleha, sejak Januari hingga semalam, PATI warganegara Filipina yang berjaya dipindahkan adalah seramai 1,811 orang.
Pemindahan itu menjadikan jumlah keseluruhan tahanan PATI yang berjaya dipindahkan ke negara asal adalah seramai 2,273 orang.







