
SEBAGAI sahabat, susah tentu kematian Ketua Hamas, Ismail Haniyeh memberi kesan yang mendalam buat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau menitipkan kata-kata akhir buat rakan seperjuangannya yang telah gugur syahid itu.
“Obor perjuanganmu akan terus menyala dan membakar semangat kami untuk terus menyanggah kezaliman dan kebobrokan.
“Jalur perjuangan ini tidak mudah kerana penindasan dan penderitaan selama berdekad lamanya ini hanya akan membenih kekuatan baharu dan semangat buat para pejuang,” luahnya.
Anwar turut menzahirkan kekesalan atas kekejaman rejim Israel yang menyaksikan kematian demi kematian dan yang terkini sahabatnya sendiri.
“Setelah ramai anggota keluarganya syahid di jalan perjuangan, kini giliran Ismail dibedil rejim pengecut.
“Saya amat berharap semangat kita tidak mudah luntur dan goyah dan mesti kekal kuat mencipta kemenangan.
“Semoga syurga buatmu, sahabat,” catatnya.