
KOTA KINABALU – Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) memberi keutamaan tertinggi kepada usaha memperkukuh dan memperluaskan sistem amaran awal banjir berikutan ketidaktentuan cuaca yang semakin ketara di seluruh negara.
Menterinya, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, penambahbaikan sistem berkenaan berpotensi diperluaskan ke negeri-negeri lain yang kerap berdepan risiko banjir, selari dengan keperluan semasa pengurusan bencana.
“Peningkatan keupayaan ramalan cuaca perlu disokong dengan pemerkasaan aset serta kecekapan pengurusan bagi memastikan maklumat amaran dapat disampaikan lebih awal dan tepat kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata semasa sidang media selepas merasmikan Pelancaran Projek Pembinaan Kompleks Mini NRES Sabah, di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi Malaysia mengunjurkan Monsun Timur Laut (MTL) tahun ini berkemungkinan berlarutan sehingga bulan Mac, sekali gus meningkatkan risiko kejadian banjir di beberapa kawasan dan negeri.






