PEMAIN remaja sensasi Liverpool, Rio Ngumoha, mengharungi penampilan sulung epik apabila meledak gol kemenangan lewat permainan ke atas Newcastle United.
Liverpool menewaskan Newcastle 3-2 dalam aksi Liga Perdana Inggeris di St. James’ Park.
Ngumoha, 16, dimasukkan ketika masa kecederaan babak kedua dan tidak berapa lama kemudian merobek kegembiraan penyokong Newcastle dengan jaringan lencongnya.
Pasukan bimbingan Arne Slot mendahului permainan pada minit ke-35 menerusi penyudah rendah Ryan Gravenberch, sebelum Hugo Ekitike menambah jaringan sejurus babak kedua bermula.
Ketika itu, tuan rumah berdepan tekanan selepas Anthony Gordon dibuang padang pada masa tambahan babak pertama akibat terjahan keras ke atas Virgil van Dijk.
Walaupun beraksi dengan 10 pemain, Newcastle bangkit dengan semangat luar biasa.
Bruno Guimaraes menanduk masuk gol pertama pada minit ke-57 sebelum William Osula menyamakan kedudukan pada minit ke-88.
Ketika St James’ Park begitu hampir untuk meraikan kejayaan mengikat juara bertahan itu, Ngumoha muncul wira dengan gol minit ke-100 untuk memastikan Liverpool mengekalkan rekod sempurna selepas dua perlawanan liga.





