Netanyahu jumpa Trump bincang fasa dua gencatan senjata

BAITULMAQDIS – Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dijadual bertemu dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump di Florida, AS esok bagi membincangkan perkembangan gencatan senjata di Gaza.

Pertemuan itu menjadikan lawatan kelima Netanyahu ke AS untuk bertemu sekutu utamanya, Trump, tahun ini, yang dilihat mustahak bagi menentukan langkah seterusnya pelan gencatan senjata Israel-Palestin yang rapuh.

Seorang pegawai Israel memaklumkan Netanyahu akan berlepas ke AS hari ini dan bertemu Trump sehari kemudian di Florida tanpa memberikan lokasi khusus.

Pada pertengahan bulan ini, Trump pernah memberitahu wartawan bahawa Netanyahu mungkin akan melawatnya di Florida semasa cuti perayaan Krismas.

“Dia mahu bertemu saya. Kami belum menetapkannya secara rasmi, tetapi dia mahu berjumpa saya,” kata Trump kepada AFP sebelum berlepas ke pusat peranginannya, Mar-a-Lago.

Akhbar Israel, Yedioth Ahronoth melaporkan pada Rabu lalu, pelbagai isu serantau dijangka dibincangkan termasuk terkait Iran, rundingan mengenai perjanjian keselamatan Israel–Syria, gencatan senjata dengan kumpulan Hizbullah di Lubnan serta peringkat perjanjian Gaza yang seterusnya.

Kemajuan untuk beralih ke fasa kedua perjanjian gencatan senjata Gaza yang dicapai pada Oktober lalu, yang diusahakan Washington bersama sekutu serantau, setakat ini bergerak perlahan.

Ini kerana kedua-dua pihak saling menuduh kerap berlaku pelanggaran gencatan senjata, manakala dalam kalangan pengantara pula bimbang Israel dan Hamas masing-masing melengahkan proses itu.

Pada peringkat seterusnya, Israel sepatutnya berundur dari kedudukannya di Gaza, manakala sebuah pihak berkuasa sementara akan mentadbir wilayah Palestin itu menggantikan Hamas dan satu pasukan penstabilan antarabangsa (ISF) akan dikerahkan.

Perjanjian itu juga merangkumi peruntukan supaya Hamas meletakkan senjata lantas menjadikannya ia satu pertikaian utama.

Semalam, portal berita AS, Axios, melaporkan pertemuan antara Trump dan Netanyahu adalah penting untuk memajukan langkah seterusnya perjanjian itu.

Memetik pegawai Rumah Putih, Axios berkata pentadbiran Trump mahu mengumumkan pembentukan kerajaan teknokrat Palestin bagi Gaza serta penubuhan ISF secepat mungkin.

Laporan itu turut menyatakan pegawai kanan Trump semakin kecewa kerana Netanyahu mengambil langkah menjejaskan gencatan senjata yang sudah pun rapuh dan melengahkan proses keamanan.

Walaupun pentadbiran Trump berminat melihat kemajuan di Gaza, penganalisis tidak menolak kemungkinan Iran membina semula program nuklear dan keupayaan peluru berpandu balistiknya, menjadi agenda utama Netanyahu semasa pertemuan nanti.

Related Posts

Malaysia, Brunei tegaskan komitmen perkukuh hubungan dua hala

PUTRAJAYA – Malaysia dan Brunei menegaskan komitmen untuk terus memperkukuh hubungan dua hala yang telah lama terjalin, berpaksikan amanah, kepercayaan serta kesepakatan dalam menghadapi cabaran serantau dan antarabangsa. Komitmen tersebut…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Pelantikan Abdul Halim perkukuh SPRM, pacu agenda integriti negara

PUTRAJAYA – Pelantikan Datuk Seri Abdul Halim Aman sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) disifatkan sebagai langkah penting dalam memperkukuh institusi pencegahan rasuah, khususnya dalam keadaan semasa yang menuntut…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Seraheng Kakan buka tirai Pesta Kaul, tarik kehadiran pelawat

Seraheng Kakan buka tirai Pesta Kaul, tarik kehadiran pelawat

Regatta Betong 2026: Sukan warisan kembali selepas 16 tahun menyepi

Regatta Betong 2026: Sukan warisan kembali selepas 16 tahun menyepi

Sarawak cadang perluas JMU, tingkatkan penyertaan pelajar luar bandar ke IPT

Sarawak cadang perluas JMU, tingkatkan penyertaan pelajar luar bandar ke IPT

Miri diperkasa sebagai hab ekonomi utama, pacu pengangkutan pintar

Miri diperkasa sebagai hab ekonomi utama, pacu pengangkutan pintar

Sarawak tekankan pembangunan Miri, ekonomi baharu dan pendidikan masa depan

Sarawak tekankan pembangunan Miri, ekonomi baharu dan pendidikan masa depan

‎APM Sabah diperkukuh, tingkat kesiapsiagaan operasi di Kota Kinabalu ‎

‎APM Sabah diperkukuh, tingkat kesiapsiagaan operasi di Kota Kinabalu ‎