
PUTRAJAYA – Inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) kini diperluas kepada sektor perikanan, melibatkan golongan nelayan dan pemilik bot persendirian, di samping pemegang lesen memandu baharu.
Kementerian Kewangan (MoF) berkata, tambahan lebih 31,000 rakyat akan menerima manfaat daripada sistem subsidi bersasar BUDI95 setelah kerajaan meluaskan kelayakan kepada tiga kumpulan baharu.
Menurutnya, antara kumpulan yang layak termasuk lebih 17,900 nelayan berdaftar di bawah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) serta lebih 4,300 pemilik bot persendirian yang berdaftar dengan Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah.
“Turut mendapat manfaat sama iaitu lebih 9,700 pemegang lesen memandu baharu yang direkodkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“MoF mengaktifkan kelayakan kepada individu-individu terbabit, menjadikan mereka sebahagian daripada lebih 16 juta rakyat yang kini memanfaatkan harga subsidi RON95 pada kadar RM1.99 seliter berbanding RM2.60 seliter tanpa subsidi.
“MoF kini sedang memuktamadkan data tambahan membabitkan pengguna bot yang tidak mempunyai lesen memandu di negeri-negeri lain di seluruh negara, khususnya Sabah dan Sarawak,” katanya menerusi kenyataan, pada Selasa.

Dalam pada itu, MoF memaklumkan, perbincangan antara Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan syarikat pengendali e-hailing (EHO) sedang diselaraskan bagi pelaksanaan penambahan siling kelayakan melebihi 300 liter sebulan kepada pemandu e-hailing sepenuh masa.
“Langkah itu bertujuan memastikan kelangsungan pekerjaan mereka tidak terjejas. Kerajaan MADANI kekal komited memastikan program subsidi bersasar ini berjalan dengan lancar, telus dan memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.
“MOF bersama agensi berkaitan akan terus memantau pelaksanaan BUDI95 dan melaksanakan penambahbaikan dari semasa ke semasa,” katanya.
Orang ramai boleh merujuk soalan lazim (FAQ) melalui portal rasmi BUDI MADANI atau menghubungi talian bantuan di 1-300-88-9595 atau melalui WhatsApp di +603-2631 4595 untuk maklumat lanjut.
Portal ini turut dilengkapi ciri semakan sejarah transaksi yang boleh diakses melalui MyDigital ID bagi memastikan keselamatan data peribadi pengguna.







