
SEREMBAN – Kerajaan Negeri Sembilan mengarahkan semua agensi agar bersiap-siaga menghadapi kemungkinan berlakunya banjir berikutan Monsun Timur Laut (MTL).
Peralihan mondun itu dijangka berlaku lebih awal iaitu pada minggu keempat bulan ini
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, mesyuarat telah diadakan bersama agensi-agensi melalui Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) untuk membuat persiapan menghadapi sebarang kemungkinan banjir.
“Kita nak pastikan bilik gerakan di Taman Tasik dapat digerakkan dengan segera, dan agensi-agensi perlu bekerjasama untuk berkongsi maklumat, khususnya daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Bulan Oktober 2024 di Wisma Negeri, di sini.
Tambah Aminuddin, orang ramai turut dinasihatkan untuk berwaspada dan bersedia menghadapi fasa peralihan MTL ini.




