KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan menzahirkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas peruntukan dan sokongan berterusan kepada negeri itu menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, pelbagai projek besar dikenal pasti akan dilaksanakan di negeri ini.
Ini termasuk pembinaan loji rawatan air di Machang, pembangunan industri pembinaan kapal (SBSR) dan pengoperasian Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
“Tidak ketinggalan pembangunan hab ekonomi baru, penaiktarafan Pelabuhan Tok Bali serta projek tebatan banjir di Sungai Golok.
“Ini semua adalah langkah signifikan dan amat disambut baik Kerajaan Negeri serta seluruh rakyat Kelantan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Program MADANI Rakyat 2025 Kelantan di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, semalam.
Dalam pada itu, beliau turut meneliti dengan baik pembentangan RMK13 – terutama aspek pembangunan strategik di Kelantan – yang mampu memberikan kesejahteraan secara menyeluruh kepada rakyat.
Jelasnya, pembentangan RMK13 bertemakan ‘Melakar Semula Pembangunan’ itu memberi fokus kepada usaha menstruktur pembangunan sosioekonomi negara.
Ia bagi melonjakkan pertumbuhan ekonomi, meningkatkan taraf hidup rakyat dan memperkukuh tadbir urus ke arah lebih baik.





