
KAPIT — NASA Space Apps Sarawak menganjurkan acara hackathon fizikal selama 48 jam diadakan di Universiti Teknologi Sarawak (UTS) Sibu pada 5 dan 6 Oktober ini.
Ini merupakan sebahagian daripada NASA Space Apps Challenge, hackathon antarabangsa terbesar yang diadakan setiap tahun dan bertujuan menyelesaikan cabaran dunia sebenar yang dikemukakan oleh pakar subjek NASA.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn menjelaskan inisiatif ini bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar Sarawak berkenaan sains bumi dan angkasa,
“Selain itu, ia juga menyediakan platform global untuk bakat Sarawak dalam menangani cabaran sebenar,” ujar beliau semasa majlis pelancaran NASA Space Apps Challenge 2024 di sini pada Selasa.
Selain itu, beliau juga menggalakkan orang ramai mendaftar melalui laman sesawang yang sudah pun dibuka dengan sasaran 5,000 peserta.
Program ini menyediakan pelbagai kemudahan canggih untuk membantu peserta menyiapkan projek dan membentangkan penyelesaian inovatif mereka.
Hackathon ini dilaksanakan melalui kerjasama dengan United States Embassy, Junior Chamber International (JCI) Lutong, Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS), Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak, Pusat Pembelajaran Realfun, SOL Digital, serta sokongan daripada Pihak Berkuasa Multimedia Sarawak, MEO Studio, Maxis, SAINS, dan SOCOE.







