
KINABATANGAN – Sokongan terhadap calon Parlimen Barisan Nasional (BN) Kinabatangan, Mohd Naim Kurniawan Moktar terus dizahirkan penduduk Kampung (Kg.) Paris 3 yang menyifatkan beliau sebagai calon prihatin dan dekat dengan masyarakat.
Noor Ruleddiya Awg Abu Bakar berkata, Naim banyak menghulurkan sumbangan kepada penduduk kampung, termasuk ketika berlaku bencana seperti banjir dan kebakaran.
“Dia rajin turun padang membantu penduduk yang terkesan. Jika berlaku bencana, dia bersama pasukan akan hadir memberi bantuan.
“Beliau juga mudah berinteraksi dengan golongan belia dan pernah menganjurkan program kemasyarakatan seperti Pesta Bola Merdeka selain memberi sumbangan bagi menyokong aktiviti belia di kampung,” katanya ketika ditemui wartawan The Malaysia Press, pada Rabu.
Sementara itu, Mirna Abd Beddu yakin Naim boleh memenangi pilihan raya kali ini dan berharap lebih banyak pembangunan dan bantuan dapat disalurkan kepada penduduk Kg. Paris 3.
“Sebagai calon Parlimen, Naim mempunyai potensi besar untuk menang kerana bersifat peramah, mudah didekati serta memberi tumpuan kepada pembangunan belia di Kg Paris 3 dan kawasan lain di Kinabatangan.
“Harapan saya, jika beliau menang, lebih banyak masalah di kampung dapat diselesaikan dengan cepat dan kemudahan asas yang diperlukan penduduk dapat dibangunkan semula,”kongsinya.




