
TANJUNG MALIM – Nahas membabitkan dua kenderaan di Jalan Besar Sungai, dekat sini pada malam Isnin mengakibatkan empat cedera termasuk anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, dua buah kenderaan itu adalah Proton Persona (kereta jabatan) TLDM dan Toyota Vios.
Ujarnya, pihak Bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan tersebut sekitar jam 10.16 malam.
“Seramai tujuh anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bidor dikejarkan ke lokasi kejadian untuk menjalankan kerja-kerja menyelamat.
“Setibanya kami di sana, kita mendapati berlaku kemalangan melibatkan dua buah kenderaan iaitu Proton Persona, kenderaan jabatan milik TLDM berlanggar dengan Toyota Vios,”katanya dalam satu kenyataan pagi Selasa.
Jelas Sabarodzi, seramai tiga mangsa ditemui dalam kereta Proton Persona manakala dua mangsa di dalam Toyata Vios.
“Seramai tiga mangsa ditemukan di dalam Proton Persona, seorang tersepit di bahagian pemandu manakala dua lagi cedera di bahagian kaki dan badan.
“Manakala, hanya seorang mangsa yang menaiki Toyota Vios cedera dan seorang lagi tidak mengalami kecederaan,” ulasnya.
Beliau turut menambah, tindakan ketua operasi bertindak mengarahkan anggota mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas dan kesemua mangsa diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan lanjut.
“Kesemua mangsa di bawa ke Hospital Slim River untuk mendapatkan rawatan susulan dan operasi tamat sepenuhnya jam 11.30 malam,” ujarnya.