KERAJAAN memperuntukkan RM27 juta kepada Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) untuk membanteras penguasaan kartel dan penipuan bida.
“Tahun hadapan, MyCC disediakan RM27 juta untuk terus memecahkan tembok penguasaan kartel,” kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.
Setakat September lalu, Anwar berkata, MyCC berjaya memecahkan tembok penguasaan kartel dan penipuan bida membabitkan jumlah penalti dikenakan hampir RM600 juta membabitkan lebih 350 syarikat.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) diperuntukan RM60 juta bagi mempertingkatkan usaha-usaha membanteras aktiviti penyeludupan sekali gus membanteras ketirisan wang rakyat.
Sejak 2022 hingga September tahun ini, KPDN dan JKDM berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan dengan hasil rampasan mencecah RM2 bilion.






