
KOTA KINABALU – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Ts Mustapha Sakmud mengadakan lawatan kerja ke pejabat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah di sini, pada Ahad.
Mustapha berkata, antara tujuan lawatan tersebut adalah bagi mendapatkan maklumat secara terus tentang pasukan keselamatan awam di seluruh Sabah.
“Kunjungan ini menjadi platform perbincangan dua hala yang menekankan kepentingan koordinasi strategik, kesiapsiagaan bencana dalam mendepani cabaran keselamatan awam yang semakin kompleks.
“Selain itu ia juga mencerminkan hubungan erat antara kepimpinan Persekutuan serta pasukan keselamatan awam di negeri ini,” ujarnya.
Selain itu, Mustapha turut menzahirkan sokongan Kerajaan Persekutuan terhadap peranan APM sebagai barisan hadapan dalam pengurusan bencana dan keselamatan komuniti, selaras dengan aspirasi memperkukuh sistem pertahanan awam yang lebih mampan dan berdaya tahan.
Pada lawatan tersebut, Mustapha turut diberi taklimat oleh Timbalan Ketua Pengarah APM Sabah, Leftenan Kolonel (PA) Erwin @ Elverowen Kinsui berkaitan kawasan hotspot bencana, kapasiti keanggotaan pasukan mengikut daerah serta kekuatan aset APM di seluruh Negeri Sabah.
Turut hadir pada lawatan adalah Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) DUN Inanam, Nickho Unui.






