SIDANG Dun Kedah baru sahaja melabuh tirai, namun yang tinggal bukanlah dasar baharu yang membanggakan, bukan pelan pembangunan yang menggerakkan negeri tetapi sebaliknya lahir seorang lagi ‘tokoh baharu’ dari Kuala Ketil yang menjadikan celupar sebagai modal politik, hingga orang Sabah tersinggung dengan kenyataan ‘boleh dibeli undi’ dengan roti Gardenia.
Inilah hasil sebenar pentadbiran hari ini iaitu pembangunan tiada, tetapi pemimpin celupar bertambah.
Bukan sesuatu yang mengejutkan. Pas Kedah sudah lama terkenal dengan siri pemimpin yang petah menghina namun kelu bila tiba soal kerja.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sendiri sudah berkali-kali menjadi tajuk utama dengan mempertikai pelantikan Menteri Besar Selangor oleh Sultan, mencabar Perdana Menteri dengan lagak sarkastik tetapi akhirnya terkulai di mahkamah.
Belum dikira lagi ungkapan biadab Ahli Parlimen Pendang, Awang Hashim, yang menukar ‘Kota Melaka’ menjadi ‘Kota Celaka’, dan ‘Hulu Langat’ kepada ‘Hulu Laknat’.
Kini muncul pula watak terbaru dari DUN Kuala Ketil, Mansor Zakaria yang merendah-rendahkan rakyat Sabah dengan kenyataan paling dangkal kononnya cukup diberi roti Gardenia RM2.80 sahaja untuk mendapat undi.
Inikah ‘ciri kepimpinan Islam’ yang Pas bangga-banggakan selama ini?
Sebagai anak jati Kedah, sukar melihat gelagat ini tanpa rasa malu. Pemimpin negeri yang kononnya ingin menunjukkan kematangan politik, akhirnya hanya memperlihatkan akhlak yang tidak lebih baik daripada sembang kosong di kedai kopi.
Jawatan sebagai ADUN bukanlah lesen untuk memaki hamun rakyat, merendahkan maruah masyarakat, atau bercakap sesuka hati tanpa akal budi.
Lebih menyedihkan, kenyataan celupar ini bukan sahaja ditegur oleh rakyat Sabah, tetapi turut dibantah kepimpinan Pas Melaka dan mendapat teguran daripada Pengerusi PN Sabah sendiri, Datuk Ronald Kiandee.
Bila satu negara menegur, itu bukan lagi isu ‘salah faham’ itu terbukti pemimpin itu sendiri bermasalah.
Namun seperti biasa, apabila ditegur, keluarlah ayat-ayat suci dijadikan perisai politik. Tiba-tiba merekalah paling Islam, paling murni, paling suci walaupun perangai kadang-kadang lebih mengingatkan kita kepada watak Abu Jahal daripada watak pemimpin berakhlak.
Hakikatnya, inilah kualiti kepimpinan kerajaan negeri Kedah hari ini iaitu celupar, tidak profesional, dan tiada wawasan. Yang mereka pandai hanyalah beretorik, bukan berkhidmat.
Kini sudah tiba masanya rakyat Kedah bangkit. Sudah sampai waktunya satu revolusi kepimpinan dilakukan pada pilihan raya akan datang.
Kita tidak boleh lagi biarkan negeri ini dipimpin oleh barisan yang memalukan, tidak bijak, dan tidak berhemah.
Kedah memerlukan pemimpin yang matang, beradab, dan mampu menjadi ikon kepada generasi muda .
Bukan pemimpin yang menjadikan kebiadaban sebagai identiti dan ketidakhadiran akal budi sebagai gaya.
Rakyat Kedah wajar memilih kepimpinan baharu yang lebih berwibawa, lebih cerdas, dan benar-benar memahami erti memimpin dan bukan sekadar pandai berteriak dari pentas, tetapi kosong ketika rakyat memerlukan.
Masa depan Kedah bukan milik pemimpin celupar. Masa depan Kedah milik rakyat yang berani menolak budaya politik memalukan ini.
Hari ini penulis menyeru rakyat Sabah bangkit dan menolak Pas pada pilihan raya yang akan menjelang beberapa hari lagi.
Ingat menolak Pas bukan bermakna menolak Islam dan cukuplah keperibadian pemimpin Pas hari ini jauh ke laut.
Ayuh rakyat Sabah tolak calon PN atau Pas di bumi Sabah.
Mungkinkah ini kesan dari doa qunut nazilah dari Jasin Melaka?






