
SANDAKAN – Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Walter Kenson mengecam keras tindakan sekumpulan individu yang dipercayai penjual rokok haram terhadap anggota penguat kuasa MPS dalam satu kejadian di Batu 8, Sibuga Jaya, pada Jumaat.
Walter berkata, tindakan tersebut tidak boleh diterima kerana anggota penguat kuasa hanya menjalankan tugas bagi memastikan undang-undang serta peraturan dipatuhi.
“MPS menyokongan penuh terhadap siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan MPS akan memberikan kerjasama sepenuhnya bagi memastikan pihak yang terlibat dibawa ke muka pengadilan.
“Kegiatan menjual rokok haram adalah satu kesalahan di sisi undang-undang.
“MPS akan terus bekerjasama dengan pihak polis serta agensi berkaitan untuk membanteras aktiviti tersebut di daerah ini,” katanya dalam satu kenyataan media, pada Sabtu.
Dalam masa sama, Walter turut merakamkan penghargaan kepada masyarakat yang sentiasa memberikan sokongan serta kerjasama dalam usaha mengekang kegiatan haram tersebut.
Tambahnya, MPS komited untuk memastikan Sandakan kekal sebagai bandar yang aman dan sejahtera.



