
KOTA KINABALU – Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah, Datuk Peto Galim menyifatkan kenyataan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor terhadap kepentingan mengekalkan hubungan baik antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan menjadi isyarat jelas bahawa Sabah komited untuk bergerak seiring dengan agenda pembangunan nasional.
Menurutnya, kesinambungan kerjasama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) mampu memberi keyakinan kepada rakyat bahawa perjuangan bersama itu akan menjamin kestabilan politik serta pembangunan negeri.
“Ya, ini adalah pengumuman yang sangat baik kerana ia adalah satu Kerajaan MADANI yang dimulakan di peringkat pusat dan disambut baik di peringkat negeri.
“Kerajaan pusat dengan Kerajaan Negeri ini akan berfungsi secara bersama untuk membangun negeri Sabah dan juga negara,” katanya ketika diminta mengulas selepas pembubaran DUN Sabah yang diumumkan di Menara Kinabalu pada Isnin.
Beliau berkata, PKR sudah hampir siap dari segi persiapan menghadapi pilihan raya, termasuk pemilihan kawasan yang akan ditandingi.
“Pada pandangan saya, kalau momentum ini diteruskan, kerjasama diteruskan, rakyat memahami konsep perjuangan GRS dengan PH, kita boleh menang,” ujarnya yang juga Pengarah Jentera Pilihan Raya PKR Sabah.




