
KUCHING – Kepemimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sarawak kini diterajui wajah baharu apabila Datuk Mohamad Zainal Abdullah dilantik sebagai Pesuruhjaya Polis Sarawak bagi menggantikan Datuk Mancha Ata yang menamatkan perkhidmatan selepas hampir empat dekad berkhidmat.
Majlis serah terima tugas berlangsung penuh istiadat di Mes Pegawai Kanan, Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Polis Sarawak, hari ini. Upacara berkenaan turut disaksikan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ibrahim Darus.
Dalam majlis tersebut, Mancha menyerahkan nota serah tugas dan Tongkat Kuasa sebagai simbol rasmi penyerahan kepemimpinan kepada Mohamad Zainal yang juga anak jati Lawas.
Mengimbau pengalamannya, Mancha berkata, sepanjang tempoh mengetuai PDRM Sarawak, pelbagai cabaran ditempuhi termasuk usaha mengekang jenayah rentas sempadan serta memperkukuh kerjasama dengan masyarakat setempat.
“Semua langkah diambil demi menjaga kesejahteraan rakyat dan mempertahankan kedaulatan negara. Saya yakin kepemimpinan baharu ini mampu membawa PDRM Sarawak ke tahap lebih tinggi,” katanya.
Beliau turut menitipkan pesanan agar warga PDRM terus berkhidmat dengan penuh dedikasi, mengekalkan integriti serta mengutamakan semangat kebersamaan dalam pasukan.
Pada majlis sama, turut diadakan penyerahan jawatan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Sarawak daripada Datin Jennita William kepada Datin Dr. Nitce Isa Medina Machmudi Isa, disaksikan Pengerusi PERKEP Cawangan Khas Bukit Aman, Datin Zanilatun Kamariah Zakaria.
Pelantikan Mohamad Zainal diyakini mampu mengukuhkan lagi kepercayaan masyarakat terhadap pasukan keselamatan, seiring hasrat PDRM menjadi benteng utama menjaga keamanan negeri.





