KUANTAN – Program Moh Karnival Makmur menjadi antara inisiatif kerajaan Pahang dalam mendekati rakyat di negeri ini.
Menurut Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, program yang pertama kali diadakan tahun ini juga membawa agensi kerajaan ke kawasan tertentu bagi memudahkan rakyat.
“Program ini kita adakan di setiap daerah dan ini adalah salah satu cara kita mendekati rakyat dengan mengadakan program riadah.
“Di samping sukan, kita ada program lain, kita mempromosikan juga juadah tempatan, makanan tempatan, serta jabatan dan agensi kerajaan yang berkaitan.
“Ini supaya rakyat boleh melihat dengan lebih dekat. Ini adalah tahun pertama kita laksanakan dan kita akan teruskan untuk tahun akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Perasmian Penutupan Karnival Makmur Pahang Peringkat Daerah Raub di Taman Tasik Raub.
Turut hadir Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak.
Sementara itu, mengulas mengenai sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) minggu hadapan, Wan Rosdy berkata, sidang akan menyaksikan angkat sumpah lima ahli DUN lantikan selain sedikit pembentangan bajet.






