
KOTA TINGGI – Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dijangka meneliti permohonan beberapa bekas pemimpin parti yang ingin kembali menyertai parti itu dalam mesyuarat yang dijadualkan berlangsung pada 17 April depan.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, beberapa bekas pemimpin parti termasuk Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Khairy Jamaluddin sudah mengemukakan surat permohonan untuk menyertai semula parti berkenaan.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa berkata, pihaknya menerima beberapa permohonan kemasukan semula ke dalam parti termasuk daripada ahli yang dikenakan tindakan disiplin di peringkat bahagian.
“Ya, kita memang sudah terima beberapa permohonan dan kita akan bawa perkara ini ke Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi pada 17 April depan.
“Saya tak boleh kata (akan putuskan), tetapi saya akan bawa atas semangat Rumah Bangsa dan saya lihat ia sebagai satu yang positif dan tentunya akan ada keputusan yang baik ke arah menjayakan Rumah Bangsa.
“Kita masih lagi sedang mengumpul (permohonan), jadi saya tidak dapat beri (jumlah permohonan yang sebenar). Tetapi, nama-nama besar seperti yang disebut (Hishammuddin dan Khairy) itu betul, memang dah mohon,” katanya lapor BH.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Projek JanaVeteran oleh Boustead Plantations Berhad di Ladang Telok Sengat, di sini, hari ini.
Mohamed Khaled yang juga Menteri Pertahanan berkata, setakat ini tiada tempoh masa khusus ditetapkan untuk bekas pemimpin atau ahli parti yang ingin mengemukakan permohonan menyertai semula UMNO.
Sebelum ini, Hishammuddin; bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan; Ketua UMNO Bahagian Jempol, Mohd Salim Sharif dan bekas Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang digantung keahlian selama enam tahun.
Sementara itu, bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dan Khairy dipecat daripada parti itu berikutan pelanggaran disiplin ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Keputusan penggantungan dan pemecatan beberapa pemimpin UMNO itu diputuskan oleh Majlis Tertinggi parti berkenaan pada 27 Januari 2023.




