
MENTERI Luar Ireland, Simon Harris menyifatkan tindakan sebuah kapal bantuan yang menuju ke Gaza sebagai simbol kuat keperluan mendesak untuk menamatkan sekatan Israel terhadap bantuan kemanusiaan.
Kapal Madleen yang berlayar dari Catania, Sicily, Itali, membawa pelbagai bantuan penting seperti susu formula bayi, makanan asas, ubat-ubatan, dan kelengkapan perubatan, telah dipintas dan dinaiki tentera Israel sebelum sempat mendarat di Gaza. Kapal tersebut kemudian ditunda ke Pelabuhan Ashdod, Israel, lapor Anadolu.
“Madleen adalah satu usaha sivil tanpa senjata untuk menghantar makanan dan ubat-ubatan kepada rakyat Gaza yang sedang kebuluran. Ini merupakan usaha kemanusiaan di tengah-tengah kemusnahan dan keadaan yang amat dahsyat,” kata Harris dalam satu kenyataan rasmi.
Beliau menegaskan bahawa insiden ini membuktikan perlunya bantuan kemanusiaan dibenarkan masuk ke Gaza tanpa sekatan.
“Apa yang diketengahkan oleh flotila ini adalah betapa mendesaknya keperluan bantuan kemanusiaan disampaikan kepada rakyat Gaza,” ujarnya.
Simon Harris turut menyifatkan situasi di Gaza sebagai satu aib kepada dunia dan komuniti antarabangsa, kerana masih terdapat kanak-kanak yang mati kelaparan tanpa tindakan tegas dari pihak global.
Tambah beliau lagi, tidak sepatutnya hanya segelintir individu awam bertindak untuk menyampaikan bantuan. Sebaliknya, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pertubuhan kemanusiaan antarabangsa perlu diberi ruang dan kebebasan untuk menjalankan tugas mereka tanpa sekatan.
“Kita tidak sepatutnya berdebat tentang keabsahan flotila ini, sebaliknya menyoal bagaimana dunia boleh sampai ke tahap ini – di mana kanak-kanak mati kelaparan dan masyarakat antarabangsa menutup mata,” katanya.
Kapal Madleen dinaiki seramai 12 individu, termasuk seorang wartawan dan 11 aktivis dari pelbagai negara, antaranya aktivis iklim terkenal dari Sweden, Greta Thunberg; Ahli Parlimen Eropah berketurunan Palestin-Perancis, Rima Hassan; serta aktivis dari Jerman, Perancis, Turkiye, Brazil, Sepanyol dan Belanda. Wartawan Omar Faiad dari Al Jazeera Mubasher turut berada dalam misi tersebut.
Inisiatif ini dianjurkan oleh Freedom Flotilla Coalition, bertujuan untuk memecahkan sekatan laut yang dikenakan ke atas Gaza dan memastikan rakyat Palestin menerima bantuan asas yang amat diperlukan.








