
REFORMASI bukan sekadar slogan. Ia adalah kesungguhan untuk menggoncang sistem bobrok yang dibina atas dasar kronisme, penindasan dan politik ‘warlord’.
Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah sekian lama menjadikan ideologi reformasi sebagai tulang belakang perjuangan – dari jalan raya ke Dewan Rakyat, dari air mata rakyat ke meja rundingan Putrajaya. Namun seperti ironi yang sering berlaku dalam sejarah politik, cita-cita tinggi ini sering berhadapan tuduhan paling menyakitkan: amalan nepotisme.
Persoalannya, bila anak kepada pemimpin tampil di pentas, adakah itu warisan atau pilihan rakyat? Bila darah perjuangan mengalir dalam tubuh yang lain, adakah itu beban atau aset?
Antara bayangan dan bayang-bayang
Nepotisme dalam politik bukan cerita baharu. Dunia sudah lama memerhati bagaimana kuasa sering melingkar dalam pusaran keluarga. Di Asia Tenggara sendiri, nama-nama besar seperti Marcos, Nehru-Gandhi dan Sukarno menjadi contoh betapa politik dan keluarga sering bertemu di simpang yang sama – kadang mesra, kadang gelap.
Tetapi tidak semua legasi itu bermakna penyelewengan. Indira Gandhi, misalnya, bukan hanya puteri Jawaharlal Nehru tetapi ‘wanita besi’ yang mengemudi India dalam zaman getir. Corazon Aquino, bukan sekadar balu kepada pembangkang legenda, tetapi pemimpin revolusi damai Filipina. Megawati Sukarnoputri, bukan sekadar menjejak langkah ayahnya tetapi membina pentas politiknya sendiri pada pasca-Orde Baru.
Soalnya bukan siapa bapanya, tetapi ke mana dia membawa rakyatnya.
Bila reformasi dipersoal
PKR, parti yang lahir dari luka dan dendam politik, kini perlu berhadapan dengan satu bentuk penghakiman baharu – bukan dari musuh luar, tetapi dari dalam sendiri. Setiap pencalonan anak kepada pemimpin utama, walaupun atas dasar merit, tetap dibayangi dengan soalan sinis: adakah ini benar-benar pilihan terbaik, atau sekadar legasi keluarga?
Masyarakat kita – setelah puluhan tahun diasuh oleh politik feudal – masih melihat hubungan darah dengan rasa curiga. Malah kadang-kadang terlalu cepat menolak tanpa melihat kualiti sebenar calon.
Tetapi inilah cabaran sebuah parti reformis seperti PKR: mereka tidak boleh meminta rakyat percaya secara membuta sebaliknya perlu menunjukkan proses. Menyediakan pentas telus. Menjelaskan keputusan secara berani.
Kerana dalam politik demokrasi moden, persepsi sering lebih berbisa daripada realiti. Dan dalam zaman media sosial yang rakus ini, satu klip video atau satu ciapan yang direka pun boleh mencetuskan gelombang yang mampu merobek kepercayaan.
Antara merit dan nama
Reformasi, seperti yang dijanjikan, mesti berlandaskan meritokrasi. Bukan pada siapa nama belakangnya, tetapi apa rekod hadapannya. Proses pemilihan dalam PKR – seperti yang selalu dilaung-laungkan – mesti berasaskan nilai ini.
Namun nilai sahaja tidak cukup. Ia perlu diterjemah dalam tindakan. Pemimpin yang dicalonkan – sama ada anak kepada presiden atau tidak – mesti mampu menunjukkan bahawa dia berdiri atas dasar kerja, bukan keturunan. Kerana rakyat tidak akan bertanya siapa ayah anda jika anda sudah buktikan siapa diri anda.
Jalan di hadapan
Persimpangan ini bukan baharu. Tetapi kali ini, simpang ini penuh ranjau kerana musuh kini bukan hanya pesaing politik, tetapi persepsi rakyat yang makin celik.
PKR ada pilihan – sama ada meneruskan laluan ini dengan kompas reformasi yang jelas, atau tergelincir dalam lubang lama yang pernah mereka tentang satu ketika dulu. Reformasi yang sejati ialah apabila seseorang itu berani menegakkan prinsip walaupun melibatkan keluarga sendiri. Dan jika prinsip itu ditegakkan dengan jelas, rakyat tidak akan kisah siapa ayahnya, tetapi akan memilih kerana siapa dirinya.
*Datuk Ismail Yusop ialah Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM)








