MINDA TOK ABAH: Demonstrasi, demokrasi dan legasi seorang Perdana Menteri

KETIKA ribuan berhimpun di Kuala Lumpur dalam perhimpunan ‘Turun Anwar’ pada 26 Julai 2025, ia melakar suatu penanda aras dalam amalan demokrasi. Ia bukan semata-mata tentang desakan politik atau tekanan moral terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tetapi lebih jauh dari itu, perhimpunan ini telah mencipta detik penting yang menunjukkan demokrasi itu bukan sekadar boleh hidup, tetapi boleh subur dengan bermaruah. Ini detik yang tidak semua negara berani melaluinya.

Perhimpunan ini adalah suatu titik tolak dalam sejarah demokrasi negara. Anwar Ibrahim, mula-mula mencetuskan gerakan berhimpun di jalanan demi membela nasib rakyat miskin Baling pada tahun 1974 pada zaman pemerintahan yang melihat demonstrasi jalanan adalah suatu ancaman kepada politik negara. Akan tetapi, beliau menggerak perhimpunan sebagai semangat perjuangan. Beliau pernah ditahan dan diburu kerana bersuara dan pernah menjadi lambang penentangan kezaliman kuasa. Kini, gerakan reformasi ini berterusan semasa beliau berada di tampuk kuasa.

Ini bukan sahaja ironi, tetapi juga memaknai kematangan erti demokrasi. Demonstrasi yang dijalankan kali ini bukanlah sesuatu yang boleh dipersetujui tetapi ia sesuatu yang munasabah untuk meraikan semangat perjuangan. Ini kerana Anwar tidak mengulangi kekerasan yang pernah menimpanya. Tiada pasukan keselamatan diarah untuk menggunakan kekerasan. Sebaliknya, yang berlaku ialah kawalan profesional oleh pihak keselamatan dan ruang aman buat rakyat menyuarakan isi hati. Inilah wajah baharu demokrasi.

Namun, tidak bermakna penganjuran demonstrasi seperti ini harus diraikan atau dijadikan rujukan utama dalam berpolitik. Sudah terang bahawa ia dianjurkan dengan tujuan semata-mata untuk menekan kerajaan dan menimbulkan persepsi negatif terhadap Perdana Menteri. Lebih parah jika ia menjadi medan menyebar fitnah dan membakar sentimen tanpa fakta.

Namun persoalan yang berbangkit ialah, apakah kesudahannya? Apakah ‘end game’ kepada perhimpunan ini? Jawapan itu tidak terletak pada bilangan yang hadir di jalanan atau tularnya poster di media sosial. Pembangkang seharusnya menggunakan saluran yang betul iaitu membawa suara rakyat ke Parlimen iaitu institusi yang memegang kuasa membuat dasar, menggubal undang-undang, dan mewakili suara rakyat secara rasmi.

Jika benar keresahan rakyat tentang kos sara hidup, harga barang, pekerjaan dan integriti pentadbiran, maka pentas Parlimen adalah tempatnya. Demonstrasi tidak seharusnya menjadi destinasi akhir perjuangan politik; ia hanya pembuka bab. Bab-bab seterusnya mesti ditulis dalam perbahasan rasmi, dalam pindaan rang undang-undang, dan dalam tindakan dasar yang konkrit di Parlimen.

Namun dalam hiruk-pikuk semua ini, ada satu suara yang masih tenggelam: suara majoriti yang diam. ‘Silent majority’ sering disebut, tetapi jarang didekati. Mereka tidak turun berhimpun, tidak menjerit di Twitter, tidak bermanifesto di TikTok. Tetapi merekalah penentu sebenar dalam pilihan raya, dalam pembentukan mandat, dan dalam kekuatan politik jangka panjang.

Mereka bukan tidak peduli. Mereka hanya menilai dari jauh, mempertimbang dan akhirnya membuat keputusan. Perhimpunan ini – sama ada disedari atau tidak – adalah ‘wake-up call’ kepada kelompok ini. Diam bukan lagi satu kemewahan. Kerana diam juga adalah satu bentuk keputusan. Diam membolehkan pihak lain menentukan arah tuju negara.

Justeru, kelompok ini mesti bersuara. Mungkin bukan melalui mikrofon demonstrasi, tetapi melalui dialog, saluran komuniti, NGO, institusi tempatan, dan yang paling utama – peti undi. Suara mereka mesti dikembalikan kepada wacana nasional. Dan lebih penting, mereka sendiri mesti bangkit untuk tidak terus tenggelam dalam keheningan yang mahal.

Demokrasi bukan sekadar demonstrasi

Apa yang berlaku pada 26 Julai adalah bukti bahawa demokrasi di Malaysia telah melangkah ke fasa baharu. Kita bukan lagi berada di zaman di mana kuasa digunakan untuk menutup mulut rakyat. Sebaliknya, kita kini di zaman di mana pemimpin membuka ruang, dan rakyat diberi peluang – dengan syarat semuanya berlaku dalam bingkai perlembagaan, adab, dan tanggungjawab.

Malaysia tidak akan runtuh kerana perberbezaan pandangan, tetapi boleh runtuh jika kita tidak tahu cara mengurus perbezaan itu. Di sinilah Anwar telah menunjukkan hala tuju – bahawa kuasa bukan untuk membalas dendam, tetapi untuk membina ruang.

Dengan institusi keselamatan yang bertindak profesional, dengan rakyat yang semakin matang, dan dengan pemimpin yang memilih keberanian moral daripada keangkuhan politik, kita sedang menyaksikan satu babak baharu dalam perjalanan negara di mana seorang Perdana Menteri yang pernah ditindas, tetapi kini memilih untuk meraikan suara rakyat dengan jiwa yang besar.

Inilah masa depan politik yang kita mahu wariskan: berani bersuara, bersedia mendengar, dan sentiasa berpijak pada hikmah dan kematangan.

*Datuk Ismail Yusop ialah Ketua Pengarah
Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM)

Related Posts

MINDA TOK ABAH: Hati nurani dalam pembinaan negara bangsa

KITA telah berbicara tentang seorang negarawan yang dibentuk oleh jalan berdebu di Baling, jeriji besi penjara, dan pengalaman panjang memahami derita rakyat dari bawah. Negarawan yang melihat kuasa sebagai amanah…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Antara tekanan subsidi, kos hidup dan realiti ekonomi negara

ADA yang bertanya, kenapa harga RON95 tidak dinaikkan kepada harga yang lebih tinggi atau diapungkan sahaja bagi mengurangkan bebanan nilai subsidi oleh negara? Secara realitinya, dasar kerajaan berkaitan harga bahan…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Pahang perlu bertemu segera isu eksport pasir sungai

Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Pahang perlu bertemu segera isu eksport pasir sungai

Pemuda UMNO Bera harap titah Tengku Hassanal diberi perhatian Kerajaan Persekutuan

Pemuda UMNO Bera harap titah Tengku Hassanal diberi perhatian Kerajaan Persekutuan

Program kesihatan dan kesejahteraan Beratok 2026 meriahkan semangat kebersamaan penduduk

Program kesihatan dan kesejahteraan Beratok 2026 meriahkan semangat kebersamaan penduduk

Program K.A.W.A.N perkukuh penyampaian inisiatif kerajaan kepada rakyat

Program K.A.W.A.N perkukuh penyampaian inisiatif kerajaan kepada rakyat

Pahang terus jadi nadi utama kepentingan FELDA

Pahang terus jadi nadi utama kepentingan FELDA

Perlu penyelesaian jangka panjang trafik Telipok, alih bulatan tidak boleh tergesa-gesa

Perlu penyelesaian jangka panjang trafik Telipok, alih bulatan tidak boleh tergesa-gesa